Sabtu, 30 Oktober 2021

Deepavali makin hampir tapi Little India sepi

Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
SEORANG pengunjung memilih hiasan untuk rumahnya menjelang sambutan perayaan Deepavali minggu hadapan dekat sebuah kedai di Jalan Tengku Kelana, Klang, Selangor. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI

KLANG: Deepavali yang bakal disambut Khamis minggu depan tidak meriah apabila Jalan Tengku Kelana yang dikelnali sebagai Little India sepi tidak seperti tahun-tahun sebelum ini.

Situasi itu mungkin ada kaitan dengan kebimbangan masyarakat India terhadap jangkitan Covid-19 walaupun kerajaan sudah melonggarkan hampir semua sektor sosial dan ekonomi.

Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Tengku Kelana semalam mendapati kawasan tersebut masih lengang walaupun Deepavali tinggal kurang seminggu lagi.

Beberapa pemilik kedai mendakwa perniagaan mereka merosot dan pengunjung tidak ramai sedangkan pelbagai persediaan termasuk menempatkan pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi mengawal pergerakan pelanggan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Seorang peniaga pakaian, K. Kogilasamy berkata, kesuraman menjelang sambutan Deepavali tidak pernah berlaku kerana lazimnya dalam seminggu sebelum sambutan, suasana di sini meriah siang dan malam apabila ramai pengunjung membuat persiapan terakhir.

Menurutnya, dia dan kebanyakan peniaga lain menjangkakan mengalami kerugian tahun ini.

“Dahulu kalau pada waktu ini, saya boleh senang-senang jual pakaian seperti sari, dhoti, achkan dan lain-lain dalam 200 helai sehari.

“Tapi sekarang, nak jual 100 helai pakaian ini pun susah. Apa boleh buat, terpaksa terima hakikat majoriti rakyat Malaysia sedang berjimak kerana pandemik ini,” katanya ketika ditemui di kedainya, hari ini.

Nasib sama dirasai peniaga bunga, B. Balasingam, apabila bunga bunga orkid, melati putih, matahari dan lain-lain dijualnya sempena Deepavali kurang dibeli.

“Situasi ini kalau berterusan memang saya terpaksa menanggung kerugian yang banyak. Tetapi saya harap situasi ini berubah mulai hari ini dan esok. Harap banyak bunga dapat dijual pada hujung minggu, mungkin juga pelanggan masih bekerja,” luahnya yang masih menaruh harapan.

Bagaimanapun, seorang pengunjung dari Taman Sentosa, Klang, P. Sivasangami, 29, berkata, dia masih takut berkunjung ke Little India kerana kes jangkitan Covid-19 masih tinggi.

“Saya datang sekadar membeli beberapa kelengkapan dan bahan makanan untuk menyambut Deepavali pada Khamis hadapan. Itu pun cuma sebentar sahaja, tak berani hendak berada di sini terlalu lama. Takut kalau ramai orang nanti risiko penularan boleh berlaku.

“Sambutan Deepavali pun kami sambut secara sederhana, tidak berbelanja besar seperti dahulu. Cukuplah sekadar beli barang keperluan untuk keluarga, sederhana tetapi masih boleh sambut Deepavali, ” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: