Khamis, 28 Oktober 2021

Pemantauan lemah punca JIM rugi RM81.69 juta

 Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengalami kerugian RM81.69 juta berikutan kelemahan pemantauan perjanjian yang tidak jelas sehingga menyebabkan penalti tidak dikenakan terhadap sebuah syarikat yang mengendalikan kutipan hasil Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara dalam talian.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2020 yang dikeluarkan semalam, penalti sepatutnya dikenakan JIM selepas berlaku kelewatan serahan pelekat PLKS kepada pengguna berjumlah RM73.89 juta.

Selain itu, tindakan penalti kelewatan remitan dan kesilapan mencetak pelekat itu yang masing-masing berjumlah RM0.49 juta serta RM7.31 juta tidak dikenakan JIM terhadap syarikat berkenaan.

“Pengauditan yang dijalankan Bahagian Pekerja Asing dan Bahagian Kewangan di Ibu Pejabat JIM bagi tahun kewangan 2020 itu turut mendapati tuntutan caj perkhidmatan PLKS oleh syarikat perkhidmatan berjumlah RM25.94 juta juga belum dibayar kerana kelewatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memuktamadkan perjanjian tambahan,” menurut laporan tersebut.

Justeru, penambahbaikan dan tindakan sewajarnya perlu diambil JIM bagi memastikan syarat serta klausa perjanjian dipatuhi serta dikuatkuasakan demi menjamin kepentingan kerajaan.

“Sebarang pengecualian hendaklah mendapat kelulusan bertulis daripada pihak yang memberi kuasa dan JIM perlu mewujudkan mekanisme pemantauan secara berkala terhadap perkhidmatan disediakan syarikat berkenaan,” kata laporan itu.

Tiada ulasan: