Sabtu, 30 Oktober 2021

Harga benih padi cecah sehingga RM45

Oleh MOHD HAFIZ ABD MUTALIB
MASALAH kelewatan benih padi terus berlarutan setiap tahun sekali gus menyusahkan para pesawah dalam memulakan tanaman.- UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

KANGAR : Ekoran masalah kelewatan atau ketiadaan benih padi ketika ini menyebabkan ramai pesawah terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih bagi membeli input pertanian berkenaan.

Masalah kelewatan benih padi bukan perkara baharu, malah, setiap tahun berulang menyebabkan para pesawah mula berasa bosan dengan situasi tersebut yang entah bila akan selesai sepenuhnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, berikutan kelewatan atau kekurangan benih menyebabkan pesawah terpaksa membeli dengan harga sekitar RM35 sehingga RM45 bagi 20 kilogram benih di sesetengah kedai menjual input pertanian itu.

Katanya, sedangkan harga sepatutnya termasuk di pintu kilang adalah sekitar RM32, namun, pesawah terpaksa mengeluarkan lebih perbelanjaan bagi mendapatkan benih itu.

“Mahu tidak mahu, pesawah terpaksa membelinya meskipun harga mahal. Kebanyakan benih di kedai-kedai sudah habis menyebabkan kedai yang masih ada stok benih itu menjual dengan harga mahal.

“Ramai pesawah merungut mengenai masalah harga benih padi yang mahal ini ekoran kesukaran mendapatkan benih ini. Apabila bekalan benih sukar diperoleh, secara tidak langsung menyebabkan harga naik.

“Tanaman padi adalah mengikut jadual yang telah ditetapkan dan apabila masalah kelewatan atau ketiadaan benih ini berlaku menyebabkan proses tersebut terganggu sekali gus boleh memberi kesan kepada hasil nanti,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Shazwan mencadangkan agar diwujudkan bahagian khusus di setiap negeri yang berfungsi menyediakan benih padi untuk disalurkan terus kepada para pesawah.

“Wujudkan satu bahagian atau jabatan khusus bagi menyediakan sendiri benih padi. Bahagian penyediaan benih padi itu akan terus salurkan kepada pesawah di negeri masing-masing. Saya jangka masalah kelewatan benih padi ini mungkin dapat diatasi dengan langkah seperti ini.

“Kalau tidak, masalah sama akan terus berulang iaitu setiap kali musim baharu tanaman padi, benih lambat, mahal, tidak berkualiti sering kali dibangkitkan yang sekali gus menyusahkan para petani.

“Ataupun, tanggungjawab membekalkan benih padi dengan harga yang ditetapkan bagi setiap 20 kilogram itu hanya diberikan kepada Jabatan Pertanian menguruskannya,” katanya.

Seorang pesawah, Fauzi Mustapa,39, berkata, meskipun pelbagai usaha dilakukan bagi menyelesaikan isu kelewatan benih namun masalah sama tetap berulang setiap tahun. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: