Sabtu, 30 Oktober 2021

Selepas kontroversi Timah, kerajaan tidak benarkan sebarang produk sentuh sensitiviti agama, kata Tuan Ibrahim

PETALING JAYA: Jemaah Menteri dikatakan bersetuju untuk tidak membenarkan pengeluaran sebarang produk yang menimbulkan keresahan rakyat dalam konteks agama dan bangsa.

Ia adalah respon kerajaan kepada kontroversi jenama wiski buatan tempatan, Timah.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, memaklumkan perkara itu kepada para perwakilan PAS ketika merasmikan mesyuarat tahunan sayap Pemuda parti itu di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Jemaah Menteri sudah buat keputusan tidak boleh lagi mana-mana pengeluaran yang apa saja pengeluaran yang boleh menimbulkan keresahan rakyat termasuk dalam konteks bangsa atau agama,” katanya.

Tuan Ibrahim menyifatkan perkembangan ini sebagai “berita gembira”.

“Kita nak khabarkan berita gembira. Menteri agama kita (Idris Ahmad) adakan pertemuan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Perpaduan (Negara), kita panggil sekali syarikat pengeluaran arak (Timah) dan kita nyatakan bantahan.”

Tuan Ibrahim mengambil maklum sesetengah pihak menggunakan isu arak untuk menyerang PAS.

“Tetapi akhirnya ia ‘backfire’ (memakan diri sendiri) kepada mereka balik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan juga bersetuju untuk tidak menggunakan botol plastik dalam semua mesyuarat penting kerajaan.

Tiada ulasan: