Sabtu, 30 Oktober 2021

Jika China boleh ‘berbaik’ dengan Taliban, mengapa tidak Malaysia, soal Pemuda PAS

China menyalurkan dana berbilion ringgit untuk mengukuh ‘Belt and Road 
Initiative’ (BRI) di Afganistan, kata Khairil Nizam Khirudin. (Gambar 
Facebook Dewan Pemuda PAS Malaysia – DPPM)

PETALING JAYA: Pemuda PAS mencadangkan agar kerajaan Malaysia memulakan hubungan dua hala dengan pemerintahan Taliban, selepas China bertindak ke depan mengadakan rundingan diplomasi peringkat tertinggi dengan negara Islam berkenaan.

Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin yang mempersoalkan pendirian Putrajaya terhadap pemerintahan Taliban berkata, Malaysia mempunyai kepakaran diplomatik aras tinggi dan diyakini mampu memudahkan penerimaan komuniti antarabangsa terhadap Afganistan melalui prinsip tadbir urus yang inklusif dan kesyumulan Islam.

“Apa yang membingungkan, tatkala negara umat Islam masih terkial-kial, China telah mengambil kesempatan mengadakan rundingan diplomasi peringkat tertinggi antara Menteri Luar, Wang Yi dengan Naib Ketua Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar.

“China menyalurkan dana berbilion ringgit untuk mengukuh ‘Belt and Road Initiative’ (BRI) di Afganistan,” katanya ketika berucap sempena Muktamar Pemuda PAS Malaysia ke-62 di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Tegasnya, konflik berterusan di negara Islam itu tidak akan menguntungkan sesiapa melainkan segelintir “military-industrial-complex” yang dahagakan darah demi “tembolok mereka sahaja”.

“Jika China Komunis boleh menghulurkan tangan kepada Afghanistan di bawah Taliban, mengapa tidak kita sebagai saudara se-Islam?

“Apakah dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan di bawah pemerintahan Taliban?,” soal beliau.

Pada 21 Sept, Menteri Luar Saifuddin Abdullah di Dewan Rakyat berkata, Malaysia mengambil pendirian berhati-hati dan sedang meneliti perkembangan terkini di Afghanistan selepas Taliban mengambil alih Kabul pada 15 Ogos lepas.

Saifuddin berkata, sehingga kini masih tiada negara luar yang mengiktiraf kerajaan sementara Taliban termasuk negara jiran Afghanistan.

Katanya, terdapat beberapa pertimbangan atau faktor yang perlu diperhalusi sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad berhubung isu pengiktirafan termasuk tahap penerimaan rakyat Afghanistan sendiri terhadap penguasaan dan penubuhan kerajaan oleh Taliban di negara itu.

“Kita dapati bahawa kerajaan sementara yang dibentuk Taliban masih tidak bersifat inklusif dengan tidak merangkumi penyertaan golongan etnik utama lain, serta peranan wanita dan anak perempuan,” katanya.

Tiada ulasan: