HARAKAH DAILY
KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad amat menghargai jasa bakti para
asatizah dan pendakwah, atas segala usaha menyampaikan kefahaman Islam
kepada ummah.
Katanya, segala pandangan yang dikemukakan para
asatizah sekalian, bukan sahaja mewakili sebahagian besar suara umat
Islam di negara ini, malah mampu mencorakkan pemikiran masyarakat.
“Atas
sebab itu, sudah tentulah kita perlu menjaga akhlak dan peribadi kita.
Kita tidak sempurna tetapi kita sentiasa perlu menjaga diri,” ujarnya
menerusi laman Facebook beliau, malam ini.
Pada petang tadi, bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi, beliau mendengar sendiri pandangan, komentar daripada para pendakwah.
Pertemuan bersama para pendakwah itu turut disertai timbalannya Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Abdul Aziz Jusoh.
Antara pendakwah yang hadir ialah Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Ustazah Isfadiah Dusuki, Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin, Ustaz Roslan Mohamed, Ustaz Haslin Baharim, dan Shah Kirit Kalkulal Govindji.
“Tentunya kita berkongsi fikrah yang sama. Mahukan negara lebih subur dengan dakwah, ilmu dan akhlak,” ujarnya.
Idris turut memberi pesanan kepada dai muda.
“Buat para dai muda, anda sebagai pewaris generasi pendakwah. Tingkatkan ilmu dan jagalah akhlak,” katanya lagi.
Beliau juga mengucapkan ribuan tahniah dan terima kasih atas kesungguhan mereka mendekati anak-anak muda sama ada di lapangan mahupun secara maya.
Tambahnya, tugas agama ini suatu tugas yang besar dan amat berat.
“Saya amat mengharapkan kita semua bersatu padu atas nama Islam.
“Kehadiran saya ke Kompleks Islam Putrajaya hanya satu niat sahaja, iaitu mahu membawa tanggungjawab menjaga Islam dan memakmurkan agama Islam.
“Mari kita besarkan persamaan kita. Kita sempurnakan Islam dan angkat martabat ummah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan