Khamis, 28 Oktober 2021

Arak Timah: Pengeluar mohon seminggu tukar nama, imej label produk

Siti Hafidah

Prosedur akan ditambah baik elak isu sama berulang

BANGI – Syarikat pengeluar arak tempatan berjenama Timah memohon tempoh selama seminggu bagi menukar nama dan imej pada label produk keluaran mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan kerajaan dengan wakil syarikat pengeluar arak terbabit – Winepark Corporation (M) Sdn Bhd – semalam.

“Melalui perbincangan yang diadakan, syarikat ini memohon tempoh seminggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah bagi menukar nama dan imej pada label produk arak keluaran mereka.

“Perkara ini adalah antara hasil keputusan yang dicapai dalam pertemuan wakil syarikat berkenaan bersama kerajaan semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexander berkata, kerajaan mengambil maklum dan prihatin terhadap isu jenama Timah yang dibincangkan di media elektronik serta sosial sejak dilancarkan awal Oktober lalu.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu mesyuarat telah diadakan melibatkan pihak kerjaan dengan syarikat pengeluar arak berkenaan baru-baru ini.

“Saya mempengerusikan mesyuarat ini yang turut disertai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

“Hadir sama Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Abdul Wahid Abu Salim, Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Abdul Haris Lakar.

“Wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut hadir,” katanya.

Beliau berkata, pertemuan secara hibrid itu dalam suasana harmoni dan menghayati konsep Keluarga Malaysia bagi mencapai satu kesepakatan demi kebaikan negara.

“Pertemuan ini juga adalah susulan pertemuan pertama yang diadakan antara syarikat Winepark bersama MyIPO pada 25 Oktober lalu.

“Di samping itu, KPDNHEP melalui MyIPO akan menambah baik prosedur yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan supaya isu sama tidak berulang lagi pada masa hadapan.

“Saya berharap semua pihak dapat memahami serta memberi peluang kepada kerajaan mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk semua pihak,” katanya.

Tiada ulasan: