Sabtu, 30 Oktober 2021

Kedah mahu runding dapatkan peruntukan lebih tinggi

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
MUHAMMAD SANUSI MD. NOR

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah yakin pintu rundingan akan dibuka Kerajaan Persekutuan berkaitan keperluan negeri ini untuk mendapatkan jumlah peruntukan yang lebih tinggi pada masa depan.

Ini berikutan jumlah peruntukan khas buat negeri ini jauh lebih kurang berbanding nilai yang dipohon dalam Bajet 2022.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keadaan itu bukan semata-mata kerana Kedah merupakan negeri miskin malah turut bersabit dengan pengorbanan dilakukan negeri ini demi kepentingan negara.

Menurutnya, sebagai penyumbang utama keperluan beras negara dengan kadar 43 peratus, negeri ini terpaksa mengekalkan tanah sawah sedia ada yang jika ditukar kepada status komersial dan industri akan memberi pulangan berlipat kali ganda kepada kerajaan negeri.

“Kami juga terpaksa mengekalkan kawasan hutan simpan seluas 341,000 hektar yang sebahagian besarnya terletak di Ulu Muda kerana lokasi itu merupakan kawasan tadahan sumber air tidak hanya untuk rakyat negeri ini malah Pulau Pinang.

“Atas pengorbanan itu, saya berharap dapat terus berunding dengan Kerajaan Persekutuan dari semasa ke semasa walaupun peruntukan khas itu tidak dinyatakan dalam belanjawan kali ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri bagaimanapun tetap berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan untuk memberi peruntukan khas RM20 juta, khusus untuk negeri-negeri kurang maju termasuk Kedah.

Dalam masa sama katanya, kerajaan negeri turut berterima kasih terhadap peruntukan projek mencegah hakisan di Pantai Merdeka selain projek eksplorasi pelancongan sejarah di Kompleks Arkeologi Sungai Batu.

“Perhatian diberikan Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya terhadap aset warisan sejarah yang begitu bernilai di Sungai Batu diyakini akan menjadi tarikan baharu peminat dan komuniti penyelidik dari seluruh dunia.

“Selain itu peruntukan secara tidak langsung yang disalurkan terutamanya untuk projek menaik taraf infrastruktur di kawasan luar bandar seperti jalan kampung serta kemudahan telekomunikasi di bawah program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) turut memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini.

Selain itu, Muhammad Sanusi turut menzahirkan penghargaan terhadap bantuan pemulihan ekonomi yang disalurkan kepada komuniti usahawan kecil, pekebun kecil, penoreh getah dan lain-lain kumpulan berpendapatan rendah.

“Langkah itu diharap dapat membantu mereka yang terbabit segera keluar daripada belenggu kemelesetan pasca pandemik. Peruntukan ‘one off’ kepada guru takmir dan pegawai masjid juga amat dihargai,” katanya.

Tiada ulasan: