Sabtu, 30 Oktober 2021

'Tak ada untuk orang bujang? Adaaa’ – Tengku Zafrul jawab rintihan golongan bujang tercicir

Oleh AHMAD FADHLULLAH ADNAN
TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz menunjukkan beg yang berisi buku laporan Belanjawan 2022 ketika keluar dari Kompleks Kementerian Kewangan menuju ke Bangunan Parlimen bagi membentangkan belanjawan tersebut. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

PETALING JAYA: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan golongan bujang tercicir dalam Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang dibentangkan dalam Bajet 2022 semalam.

Beliau berkata, ucapan Bajet 2022 itu sebenarnya hanya sebahagian daripada pelbagai bantuan yang disediakan untuk Keluarga Malaysia.

“Ramai yang bertanya di media sosial, Bantuan Keluarga Malaysia ni tak ada ke untuk bujang? Adaaa.

“(Namun), jika mahu kita senaraikan semua, sampai malam pun mungkin tak habis ucapan, tetapi dalam Bajet 2022 memang ada macam-macam bantuan untuk semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tengku Zafrul berkata demikian bagi mengulas mengenai persoalan orang ramai di media sosial mengenai bantuan buat golongan bujang susulan pembentangan Bajet 2022, semalam.

Menerusi perkongsian dalam hantaran sama, terdapat empat kategori yang diperuntukkan bagi tambahan kadar isi rumah merangkumi bantuan sebanyak RM500 buat ibu atau bapa tunggal (IBT), RM300 bagi warga emas, RM600 bagi warga emas bujang atau tiada pasangan (pendapatan kurang dari RM5,000) dan RM350 bagi golongan bujang yang berpendapatan kurang dari RM250.

Tiada ulasan: