Sabtu, 30 Oktober 2021

Hutang terkumpul 1MDB RM32 bilion setakat akhir Jun 2021

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mempunyai hutang terkumpul berjumlah RM32 bilion setakat akhir Jun 2021, demikian menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2022 yang dikeluarkan hari ini.

Sejumlah RM12.8 bilion komitmen kewangan dan pembayaran hutang 1MDB telah dilunaskan kerajaan atau Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) menerusi pinjaman dan pendahuluan setakat September lepas, yang mencecah hampir RM10 bilion, selain penggunaan Akaun Amanah.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, baki terkumpul Akaun Amanah selepas mengambil kira pendapatan simpanan (hibah) adalah berjumlah RM15.3 bilion dan mampu membiayai obligasi 1MDB sehingga 2022.

Obligasi keseluruhan 1MDB berjumlah RM39.3 bilion merangkumi prinsipal sebanyak RM32.2 bilion dan faedah atau bayaran keuntungan atas pembiayaan (RM7.1 bilion).

1MDB ditubuhkan sebagai sebuah syarikat MKD pada 2009 bagi memacu pembangunan strategik negara, namun kebergantungan tinggi ke atas modal hutang serta tadbir urus korporat yang lemah menyebabkan syarikat tersebut mengalami masalah aliran tunai bermula akhir 2014 dan seterusnya memerlukan bantuan kerajaan.

"Aset berkaitan 1MDB bernilai RM18.2 bilion telah disita atau diperoleh semula dan diletakkan dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset di bawah kawalan Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

"Antara aset yang diperoleh kembali termasuk sitaan aset fizikal serta bayaran penyelesaian oleh pihak yang terbabit dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, terimaan penyelesaian daripada institusi kewangan dan pihak lain seperti firma audit serta terimaan tunai daripada individu dan syarikat," katanya.

Menurut laporan itu, selain bayaran penyelesaian kepada kerajaan, mantan pengatur terbitan bon bagi pihak 1MDB iaitu Goldman Sachs akan membantu dan memberi jaminan untuk mendapatkan semula aset bernilai sekurang-kurangnya US$1.4 bilion. – BERNAMA

Tiada ulasan: