Khamis, 28 Oktober 2021

Laporan audit: Peralatan RM6.08 juta belum diterima Istana Budaya

 BERNAMA

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2020, Istana Budaya perlu memastikan 
peralatan bernilai RM4.79 juta dipasang dan digunakan sepenuhnya bagi 
mengelakkannya menjadi usang serta tidak dapat digunakan.

KUALA LUMPUR: Istana Budaya belum menerima peralatan yang dibeli daripada sebuah syarikat oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bernilai RM6.08 juta, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2020.

Menurut laporan dikeluarkan hari ini, peralatan berkenaan belum diterima kerana pembekal dilantik syarikat tersebut menetapkan penghantaran peralatan dan perkhidmatan hanya akan dibuat setelah pembayaran penuh diselesaikan oleh syarikat terbabit.

Laporan tersebut turut mendedahkan peralatan bernilai RM4.79 juta lewat diterima selama 448 hari selepas kontrak syarikat itu ditamatkan pada 20 Okt 2017 sebelum digantikan syarikat yang dilantik bagi meneruskan kerja menaik taraf sistem kawalan dan automasi pentas Panggung Sari, Istana Budaya.

Sehubungan itu, beberapa syor dikemukakan kepada Istana Budaya, iaitu memastikan pihak penyelesai hutang menyenaraikan mereka dalam keutamaan senarai pemiutang syarikat berkenaan bagi penyelesaian hutang berjumlah RM6.08 juta dengan segera.

Selain itu, Istana Budaya perlu memastikan peralatan bernilai RM4.79 juta dipasang dan digunakan sepenuhnya bagi mengelakkannya menjadi usang serta tidak dapat digunakan.

MOTAC menandatangani kontrak dengan syarikat terbabit pada 10 Nov 2016 bagi kerja menaik taraf sistem kawalan dan automasi pentas di Panggung Sari, Istana Budaya menerusi rundingan terus dengan nilai kontrak berjumlah RM34.22 juta.

Tempoh kontrak bermula dari 15 Nov 2016 hingga 15 Julai 2017, iaitu selama lapan bulan sebelum kontrak itu ditamatkan kerana syarikat tidak berupaya meneruskan kontrak.

Tiada ulasan: