Jumaat, 29 Oktober 2021

Uzur tidak halang Bob ikuti perkembangan PAS

 Oleh SALMAH MAT HUSAIN 

KOTA BHARU: Biarpun keadaan kesihatan Bob Lokman kurang mengizinkan sejak sebulan lalu, namun beliau sering mengikuti perkembangan politik semasa terutamanya perjuangan PAS.

Katanya keadaan kesihatannya semakin bertambah baik sekarang setelah sebulan menerima rawatan di Unit Penjagaan Koronari (CCU) Hospital Sultanah Bahiyah Kedah awal Oktober lalu.

“Alhamdulillah saya dah boleh makan dengan baik berbanding sebelum ini.

“Insya-Allah sekiranya keadaan saya semakin baik, saya akan pulang ke Kelantan tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pimpinan PAS Kedah yang sering menziarahinya ketika dirawat di negeri itu antaranya Setiausaha Politik Menteri Besar Afnan Hamimi dan beberapa pimpinan lain.

Bob yang juga pelakon, pengacara dan penulis lirik keluar dari hospital berkenaan minggu lepas dan sekarang berada di rumah keluarga isterinya di Muar, Johor.

Beliau turut merakam ucapan Selamat Bermuktamar kepada pemimpin dan perwakilan yang akan menghadiri Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali ke-67 di Kuala Terenganu pada 6 dan 7 November ini. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: