Jumaat, 29 Oktober 2021

Pengundi bimbang SOP longgar boleh merebak Covid-19

Oleh IBNU JANIE
 

AYER KEROH: Penularan wabak Covid-19 dibimbangi menjejaskan jumlah keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini.

Tinjauan Harakahdaily mendapati ramai penduduk meluah gelisah untuk keluar mengundi dibimbangi berlaku jangkitan apabila ada pihak tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Seorang pengundi, Md Deli Hisyam, 65, berkata, beliau tidak setuju PRN diadakan sekarang kerana bahaya Covid-19 masih ada walau pun sudah berkurangan.

“Pakcik rasa memang tak sesuailah. Bahaya. Terutama untuk orang tua macam pakcik. Risiko tinggi walau pun dah lengkap vaksin.

“SPR dan parti-parti politik yang bertanding perlu membuat pemantauan yang ketat supaya mereka sentiasa mematuhi SOP semasa proses PRN berjalan,” katanya ketika ditemui di sini.

PRN Melaka diadakan ekoran krisis politik dalaman parti pemerintah di mana empat Adun menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Dato’ Seri Sulaiman Md Ali, sehingga membawa pembubaran Dun 5 Oktober lepas.

Deli berharap kerajaan tidak membenarkan aktiviti berkempen dari rumah ke rumah kerana ia boleh menular semula wabak Covid-19.

“Pakcik pun tak tahu lagi sama ada nak mengundi atau tidak. Tengoklah nanti, kalau ramai orang pakcik balik sajalah, tak mengundi,” ujarnya.

Habsah Ali, 57, pula berkata beliau tidak berminat keluar mengundi kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga.

“Minta maaflah. Akak memang macam tidak mahu keluar mengundi. Akak tak yakin yang SOP akan dipatuhi. Apabila dah ramai datng macam-macam boleh jadi,” ujarnya.

Menurutnya rakyat sudah bosan melihat kerenah pemimpin politik yang asyik bercakaran tanpa memikirkan masalah rakyat.

“Letihlah tengok orang politik. Masa inilah mereka nak berebut kuasa nak jadi Ketua Menteri. Kan dah menyusahkan rakyat.

“Kalau jadi macam dekat Sabah macam mana.. Mereka seronoklah bila dah jadi wakil rakyat,” ujarnya agak emosi.

Sebaliknya seorang kontraktor Sham Abu, 45, berkata PRN perlu diadakan bagi menyelesaikan ‘keributan’ dalam kerajaan Melaka.

Menurut beliau sekiranya tidak diadakan pilihan raya keadaan politik akan lebih teruk lagi sehingga menyusahkan rakyat.

“Cuma saya minta supaya SOP kena betul-betul ketat. Jangan jadi seperti di Sabah tahun lepas. Jangan cakap saja ada SOP tetapi penguatkuasaan lemah,” ujar beliau.

Sham tidak mahu melepaskan peluang keluar mengundi pada 20 November sebagai menunaikan tanggungjawab kepada negeri dan negara.

“Insya-Allah saya akan keluar mengundi,” kata beliau. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: