Sabtu, 30 Oktober 2021

Bantuan pulih usahawan kecil

 Oleh Saiful Haizan Hasam

 Penjual makanan ringan mengayuh basikal beroda tiga bagi menampung sara hidup. - Foto BERNAMA Penjual makanan ringan mengayuh basikal beroda tiga bagi menampung sara hidup. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyifatkan Bajet 2022 akan membantu memulihkan usahawan bangkit semula, sekaligus memperkasa ekonomi negara.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata bajet itu memberi perhatian kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang sangat terjejas akibat pandemik COVID-19.

"Penekanan Bajet 2022 yang memberi fokus kepada usaha menjana semula ekonomi negara akan memberi impak yang signifikan dalam meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran Keluarga Malaysia.

"Dalam mengembalikan keupayaan perniagaan, pakej pembiayaan sebanyak RM40 bilion disediakan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia yang merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noh berkata, antara insentif itu ialah peruntukan RM4.8 bilion bagi melaksanakan Program Peningkatan Kapasiti dan Pembiayaan Perniagaan yang dilaksanakan oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Dana Kemakmuran Bumiputera.

Katanya, begitu juga dengan potongan cukai dua kali bagi perbelanjaan operasi yang dinaikkan daripada RM300,000 kepada RM500,000 dan dilanjutkan bagi tempoh lima tahun sehingga 31 Disember 2025 untuk meningkatkan pembabitan syarikat teraju dalam membangunkan vendor Bumiputera.

"Tidak ketinggalan, dana pembiayaan Skim Pembiayaan Usahawan Informal dan Mikro serta Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh TEKUN.

"Seterusnya, dana RM230 juta bagi melaksanakan program pembiayaan untuk usahawan wanita yang terjejas melalui Program TEKUNITA oleh TEKUN dan Program DANANITA di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).

"Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) berjumlah RM10 juta dan Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi berjumlah RM30 juta oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia," katanya.

Noh berkata, insentif seterusnya ialah pendanaan melalui pelaburan ekuiti dan quasi-ekuiti bernilai RM600 juta yang akan diterajui oleh SME Bank dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Katanya, turut boleh dimanfatkan ialah insentif percukaian merangkumi penangguhan ansuran cukai pendapatan, pindaan anggaran cukai pendapatan perniagaan dan potongan cukai khas kepada pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan pengurangan sewa.

"Selain itu, latihan dan bimbingan perniagaan dan skim pembiayaan mudah kosong peratus bagi usahawan francais dengan peruntukan berjumlah RM74 juta yang akan dilaksanakan oleh Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS)," katanya.

Pasangan suami isteri mengutip kotak yang dibuang untuk dijual bagi sara hidup mereka di Pulau Pinang. - Foto BERNAMA
Pasangan suami isteri mengutip kotak yang dibuang untuk 
dijual bagi sara hidup mereka di Pulau Pinang. - Foto BERNAMA

Tiada ulasan: