Sabtu, 30 Oktober 2021

Peruntukan RM13 juta perkasa siasatan jenayah D11 Seksual Wanita, Kanak-Kanak – KPN

IGP Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani EMCO vaccination
Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan peruntukan serta penambahbaikan yang diumumkan pada Bajet 2022 dimanfaat sepenuhnya bagi memperkasakan perkhidmatan pasukan keselamatan itu.

Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, peruntukan yang diterima itu menunjukkan kerajaan sentiasa menghargai khidmat penjawat awam dan petugas barisan hadapan.

Katanya, peruntukan sebanyak RM17 bilion yang diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri bagi inisiatif pertahanan dan ketenteraman awam amat dihargai PDRM.

“Ia termasuklah pengumuman bantuan khas kewangan sebanyak RM700 untuk kakitangan awam gred 56 ke bawah dan RM350 bagi pesara kerajaan, gantian cuti rehat (GCR) yang dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari serta segala bantuan yang diumumkan untuk penjawat awam.

“Di bawah strategi kedua iaitu membangun sebuah keluarga Malaysia, Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman akan mendapat peruntukan sebanyak RM13 juta untuk memperkasa bahagian tersebut termasuk pewujudan 100 perjawatan baharu.

“Peruntukan ini akan meningkatkan keberkesanan siasatan oleh Bahagian D11 JSJ Bukit Aman yang akan diperkasa di setiap kontinjen dan meninggikan mutu perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, peruntukan yang diumum itu juga akan memastikan PDRM khususnya bahagian D11 dapat menyampaikan perkhidmatan terbaik dalam aspek siasatan jenayah seksual melibatkan mangsa yang terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak.

Sementara itu, Acryl Sani berkata, penambahan lapan Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) antaranya di Pagalungan, Sabah dan Temong Mura, Sarawak akan meningkatkan lagi tahap kawalan keselamatan sempadan yang berterusan anggota penguatkuasaan.

Menurut beliau, infrastruktur berkenaan akan memantapkan keupayaan PDRM dalam memastikan keselamatan di kedua-dua negeri tersebut terus terpelihara.

“Pos-pos yang bakal dibina akan menyumbang secara langsung kepada peningkatan kapasiti PDRM untuk memastikan kawalan keselamatan sempadan negara sentiasa di tahap terbaik.

“PDRM turut berterima kasih atas pengumuman peruntukan yang melibatkan kerja-kerja penggantian dan pembaikan lif serta kuarters PDRM

“Perkara tersebut merupakan bukti komitmen kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan ahli keluarga PDRM dalam menyediakan kuarters yang lebih selesa dan selamat untuk didiami,” ujarnya.

Dalam pada itu, Acryl Sani menyambut baik pengumuman peningkatan elaun penugasan Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam untuk pegawai dan daripada RM6.00 kepada RM8.00 sejam untuk anggota, yang bakal memanfaatkan hampir 10,000 pegawai dan anggota PVR.

Katanya, peruntukan terbabit merupakan komitmen kerajaan yang akan memberi motivasi dan semangat bagi lebih ramai ahli masyarakat untuk menyertai pasukan sukarelawan tersebut dan bersama-sama dalam memerangi jenayah. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: