Jumaat, 29 Oktober 2021

Projek Tebatan Banjir Sungai Duyung atasi banjir

 Oleh IBNU JANIE dan ABU ANAS

AYER KEROH: Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Dr Zuhdi Marzuki melahirkan keyakinan bahawa rancangan Tebatan Banjir Sungai Duyung yang bakal dibina akan dapat menyelesaikan beberapa masalah banjir di kawasan-kawasan yang berkaitan.

“Kemudian ada juga projek-projek yang sama, rancangan Tebatan Banjir di Jasin, kemudian di Alor Gajah dan seumpamanya yang sudah pun diluluskan.

“Dan insya-Allah kita akan cuba menyegerakan projek-projek ini supaya dapat menyelesaikan masalah banjir yang bersifat jangka panjang atau pun penyelesaian secara jangka panjang,” ujarnya lagi.

Dr Zuhdi berkata demikian dalam satu lawatan kerja beliau ke negeri Melaka, semalam bagi meninjau beberapa kawasan sekitar Bukit Katil dan Durian Tunggal yang kerap dilanda banjir akhir-akhir ini.

“Pada hari ini saya mewakili Menteri Alam Sekitar Dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dengan Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka untuk menerima aduan-aduan yang berkaitan dengan banjir di beberapa kawasan yang terjejas teruk terutamanya dalam banjir yang berlaku baru-baru ini.

“Dan saya telah bawa pegawai daripada Jabatan Parit Dan Saliran (JPS) untuk kita lihat punca-puncanya dan juga bagaimana cara untuk mengatasi banjir-banjir yang telah pun berlaku sebelum ini dan juga sebelum daripada ini,” ujar beliau.

Menurut beliau lawatan kerja itu adalah untuk melihat sendiri apa yang berlaku di lapangan berdasarkan aduan penduduk yang telah diterima oleh pihak Menteri Alam Sekitar Dan Air yang dibawa oleh kepimpinan PAS Melaka.

“Sebenarnya negeri Melaka ini mempunyai banyak projek yang sedang berjalan dan juga sudah diluluskan iaitu Projek Rancangan Tebatan Banjir ini.

“Projek-projek ini adalah di antaranya yang sudah pun diluluskan dan sudah pun dilantik kontraktor yang akan menguruskan projek tebatan banjir itu antaranya di Sungai Duyung itu,” ujar beliau.

Sementara itu, seorang penduduk yang terlibat dengan banjir ini, Selamat Hussin, 60, berkata beliau baru sahaja setahun berpindah ke kawasan itu untuk menjalani kehidupan selepas bersara.

“Saya pindah ke sini dan buat rumah ni dalam setahun ni. Saya ingat saya pindah sini nak tenang hidup lepas bersara, tak sangka macam ni pula jadinya,” ujarnya kecewa.

Selamat yang merupakan penduduk di Kampung Tun Razak, Bukit Katil yang terlibat dengan banjir berkata, beliau sering berada dalam ketakutan sekiranya berlaku hujan.

“Hujan dalam dua tiga jam saja dah boleh banjir. Jadi memang sentiasa risau. Saya berharap sangat agar pihak-pihak berkuasa dapat selesaikan masalah ni,” ujarnya.

Turut sama di dalam lawatan ini ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Puhat Bedol, Ketua Dewan Muslimat PAS negeri (DMPNM), Kintan Man, Ketua Penerangan DMPNM, Hawa Yaakub, Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Hang Tuah Jaya, Ramli Dalip, YDP PAS Alor Gajah, Ustaz Syahbudin Senin dan pimpinan PAS tempatan. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: