Tentera siber UMNO mula menabur fitnah terhadap Perikatan Nasional (PN), khususnya Pengerusi PN, apabila mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin mula menyogok pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Berdasarkan gambar yang mereka peroleh tentera siber UMNO menuduh bekas Perdana Menteri itu yang berada di Melaka hari ini, memberi wang secara terang-terang walaupun RM5.
Antara tentera siber UMNO yang membuat fitnah Muhyiddin memberi wang kepada orang ramai di Melaka ialah Rafi Awg Kechik dan Akmar Hisham Mokhles. Kedua-duanya memuat naik fitnah itu di laman Facebook masing-masing sebagaimana gambar di atas.
Bagaimanapun, Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata pihak terbabit sengaja berniat jahat untuk memburuk-burukkan Muhyiddin dengan membawa persepsi negatif sempena PRN Melaka.
“Gambar yang disebarkan itu adalah gambar ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin singgah di sebuah Gerai Prihatin Rakyat di mana beliau membantu memulangkan baki wang yang dibeli oleh rakyat Melaka yang bernilai RM5 ke atas jualan Gerai Prihatin Rakyat anjuran sebuah NGO di Melaka.
“Saya harap pihak yang tidak bertanggungjawab harus menghentikan fitnah dan rakyat Melaka harus menilai taktik jahat pihak tertentu ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, Presiden Bersatu itu sebenarnya memulangkan wang baki selepas penunggang motosikal berkenaan membeli barangan asas di Gerai Prihatin Rakyat secara pandu lalu.
“Gambar yang disebarkan itu ketika Muhyiddin singgah di Gerai Prihatn Rakyat dan pulangkan baki wang sebanyak RM5,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin dalam siri melawat ke program Gerai Prihatin Rakyat di Kampung Tersusun Jus Permai, Selandar dan Pantai Klebang.
Sementara itu, satu laporan polis akan dibuat oleh Bersatu Melaka berhubung kiriman yang dimuat naik oleh pihak berkenaan.
Ketua Penerangan Bersatu Negeri Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata laporan polis itu akan dibuat di Balai Polis Air Keroh.
“Saya akan membuat laporan polis terharap mereka hari ini. Tindakan tidak bermoral ini perlu dihentikan dan harus diambil tindakan tegas,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan