Ahad, 31 Oktober 2021

14 rumah terjejas banjir kilat di Tanjung Rambutan

 Oleh SAYED HESHAM IDRIS

SEBUAH kereta meredah banjir kilat yang berlaku di Tanjung Rambutan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL

IPOH: Sebanyak 14 buah rumah terjejas akibat banjir kilat di Kampung Chee, Tanjung Rambutan dekat sini petang tadi berikutan hujan lebat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, paras air di kawasan kejadian naik sehingga paras satu meter namun setakat ini kejadian tidak melibatkan pemindahan mangsa.

Katanya, pihaknya menerima panggilan mengenai banjir kilat yang berlaku pada pukul 7.11 petang.

“Jentera JBPM yang tiba di tempat kejadian mendapati berlaku kejadian banjir kilat di Kampung Chee disebabkan hujan sebab petang tadi.

“Paras air naik sehingga satu meter dan kejadian melibatkan 14 buat rumah. Setakat ini tiada pemindahan mangsa dilakukan dan operasi memantau sedang dijalankan di kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, video keadaan banjir di kawasan kejadian termasuk di Kinding dekat sini dikongsi dalam media sosial Facebook dan WhatsApp yang antara lain merakamkan kenderaan meredah air banjir yang melimpahi jalan berdekatan sebuah stesen minyak.

Tiada ulasan: