Jumaat, 29 Oktober 2021

Saya tetap akan teruskan jika imej bertudung – Zizi Kirana

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY

KUALA LUMPUR : Terpalit dengan isu melanggar kontrak sebuah produksi, penyanyi dan pelakon, Zizi Kirana, tampil menjelaskan bahawa dia sebenarnya ingin meneruskan penggambaran seandainya dibenarkan memakai tudung untuk watak yang diberikan.

Bagaimanapun, pihak produksi telah menetapkan watak buatnya menerusi drama berjudul Jamu Nesan merupakan seorang wanita tidak bertudung dan apabila diminta untuk menggenakan rambut palsu, perkara itu membuatkannya berfikir lama.

“Saya telah diminta untuk memakai rambut palsu sedangkan saya sudah memaklumkan akan mengenakan tudung Ramadan lalu. Jadi, perkara itu membuatkan saya berfikir. Namun tidak pula saya katakan enggan meneruskan penggambaran.

“Saya tetap nak buat tetapi berharap mereka benarkan saya bawa watak itu dengan imej bertudung. Disebabkan rasa musykil dengan situasi ‘bolehkah wanita pakai rambut palsu?’, maka kemudiannya saya bertanyakan hal itu kepada Mufti Kuala Lumpur, Dr Luqman Abdullah.

“Dia memberikan jawapan, haram untuk memakai rambut palsu walaupun atas urusan kerja. Maka saya terpaksa akur dengan situasi untuk melepaskan kerja itu,” katanya.

Zizi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan penerbit drama tersebut, Rafiena Ezanee Ramli,39, yang mendedahkan dia menanggung kerugian besar gara-gara terpaksa mengugurkan nama Zizi daripada produksi drama itu yang hanya berbaki 30 peratus sahaja lagi.

Menurut Rafiena, dia bagaimanapun menghormati keputusan Zizi yang sudah bertudung dan tidak dapat meneruskan penggambaran seperti dijadualkan atas sebab-sebab tertentu dan tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyanyi itu.

Dalam pada itu, Zizi juga mengaku terpaksa menukar tarikh yang dicadangkan produksi berikutan mempunyai program televisyen (TV) lain yang sudah ditetapkan lebih awal.

Jelas isteri kepada pelakon Yusof Bahrin ini, dia hanya mengetahui wataknya sudah digantikan dengan pelakon lain selepas dimaklumkan oleh pengurusnya.

“Berkenaan tarikh, memang pihak produksi ada cadangan baru untuk penggambaran, tapi mereka maklumkan saat-saat akhir dan kebetulan tarikh yang mereka cadangkan saya dah ada program lain yang sudah disusun.

“Pengurus saya pun bagi tarikh lain tapi mereka nak bincang dahulu. Jadi, pihak saya pun menunggu tarikh baru yang mereka nak berikan namun tiada pula jawapan daripada mereka.

“Kemudian, pengurus saya dapat tahu yang mereka dah gantikan watak saya dengan pelakon lain tanpa pengetahuan saya. Pengurus saya pun hubungi produksi untuk bertanyakan status saya macam mana. Tapi pihak mereka kata dah ada pengganti,”katanya.

Selain itu, bagi mengelak salah faham ramai, Zizi memberitahu, tawaran drama tersebut telah diterimanya sejak Mac lalu dan ketika itu dirinya masih belum bertudung.

Tiada ulasan: