Jumaat, 29 Oktober 2021

Tiada kerusi diberi kepada parti Syed Saddiq, PH bertanding semua


Parti Muda yang diketuai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak diberikan sebarang kerusi untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya Pakatan Harapan (PH) hanya membahagikan kerusi sesama parti komponennya sahaja.

Keputusan pembahagian kerusi yang diumumkan blok pembangkang itu hari ini menyaksikan PKR akan bertanding 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP lapan kerusi dan Amanah sebanyak 9 kerusi.

Tiada sebarang kerusi diberikan kepada parti yang diketuai Ahli Parlimen (MP) Muar tersebut yang umum mengetahui merupakan pengikut setia Tun Dr Mahathir Mohamad.

Syed Saddiq sebelum ini berkata partinya akan masuk bertanding dalam PRN Melaka, namun tidak pasti akan bersama dengan gabungan politik mana satu.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH berkata proses pembahagian kerusi itu bermula dari peringkat bawah hingga akhirnya dikemukakan untuk diputuskan Majlis Presiden.

Untuk rekod Parti Muda belum didaftarkan secara rasmi sebagai parti politik.

Sementara itu Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Muda bukan sebahagian daripada komponen PH dan pembahagian perlu diselesaikan dalam kalangan mereka terlebih dulu.

“Ini pembahagian yang telah selesai dalam kalangan parti komponen. Perbincangan dengan mana-mana parti lain insha-Allah bermula sekarang,” ciapnya di Twitter.

Dalam pada itu, Anwar juga mengumumkan gabungan itu memutuskan untuk menyertai PRN Melaka menggunakan logo rasmi mereka.

Anwar Ibrahim berkata ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat hari ini.

“Kami sebulat suara bersetuju untuk mengguna logo PH,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Ia turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama Pakatan Harapan (PH) menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

Tiada ulasan: