Ahad, 31 Oktober 2021

Kedah tubuh pasukan tentukan isu pajakan P. Pinang

 azrulhakimie

Pihak dipelawa menyertai pasukan itu telah menyatakan komitmen

KULIM – Kedah sedang dalam proses menubuhkan sebuah pasukan yang terdiri daripada sejarawan, pakar akademik dan wakil persatuan sejarah bagi menentukan bahawa Pulau Pinang benar-benar dipajak daripada Kedah.

Menteri Besar Muhamad Sanusi Md Nor berkata pihak yang dipelawa menyertai pasukan itu telah pun menyatakan komitmen masing-masing untuk membantu Kedah dalam perkara itu.

“Kita bentuk satu pasukan dan kita wujudkan satu sahaja pandangan tentang Kedah dan Pulau Pinang. Asasnya memang Pulau Pinang adalah pajakan daripada Kedah, kerana itulah daripada dulu kita dibayar RM10,000. Kalau tidak, bayaran RM10,000 itu untuk apa?

“Mulai 2018, Kerajaan Persekutuan tambah RM10 juta, jadi kita terima RM10 juta RM10,000, mai mana duit itu kalau bukan disebabkan pajakan? Saja-Saja nak bagi ka, ingat baik sangat orang nak bagi RM10 juta dan RM10,000? Tentu ada pasai, ada punca,” katanya ketika ditemui pada majlis pecah tanah fasiliti pembuatan AT&S di Kulim Hi-Tech Park hari ini.

Justeru, beliau berharap perkara itu dapat dikaji semula dan Kedah diberikan bayaran lebih setimpal berbanding jumlah RM10 juta dan RM10,000 yang diterima ketika ini.

Rabu lepas, Muhammad Sanusi berkata Kerajaan Negeri Kedah menuntut bayaran royalti sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi pajakan tanah di Pulau Pinang dan berharap ia diumumkan dalam Bajet 2022 yang dibentangkan semalam.

Bagaimanapun, pembentangan bajet oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat tidak mempunyai peruntukan bagi tujuan itu.

Mengulas perkara itu, Muhammad Sanusi berkata Kerajaan Persekutuan mungkin tidak bersedia mempertimbang tuntutan tersebut dalam bajet kali ini.

Beliau berkata pihaknya akan terus membangkitkan isu itu pada masa yang lain. – Bernama

Tiada ulasan: