Selasa, 19 Oktober 2021

Maritim Malaysia usir 40 PATI dalam aksi kejar mengejar

 Oleh MOHAMAD ATHIR ISMAIL

BOT KM Sinar Utama berjaya dikesan pihak berkuasa oleh Maritim Malaysia apabila memasuki perairan negara pada pukul 2 pagi sebelum berjaya diusir dua jam kemudian berhampiran Pantai Morib di Kuala Langat, Selangor.

SHAH ALAM: Seramai 40 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) disyaki warga Indonesia gagal mendarat dekat kawasan pantai Kuala Langat, Selangor apabila bot dinaiki mereka berjaya dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) awal pagi tadi.

Bagaimanapun, Maritim Malaysia sebelum itu berjaya mengesan pergerakan bot KM Sinar Utama selepas menerima maklumat risikan Pusat Operasi Negeri Selangor (PUSOP) mengenai pergerakan bot terbabit disyaki membawa PATI berlepas dari jeti Tanjung Balai, Asahan, Indonesia kira-kira pukul 9 malam waktu Malaysia.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Selangor, Kapten Maritim Mohd. Rosli Kassim dalam satu kenyataan memaklumkan, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia yang berpangkalan di Area Command Centre (ACC) Klang pada pukul 12 tengah malam tadi mengesan bot sasaran curiga tersebut sedang bergerak dari perairan Permatang Sedepa menuju ke perairan Morib.

“Berikutan itu bot PENGGALANG 10 (milik Maritim Malaysia) yang dalam tugasan Operasi (Op) Benteng Sektor 5 digerakan bagi memintas sasaran dan dibantu bot PR4 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Namun ketika dikesan pada pukul 2 pagi, tekong KM Sinar Utama yang menyedari kehadiran penguat kuasa terus memecut sebelum berlaku aksi kejar mengejar. Tekong terbabit turut melakukan pergerakan berbahaya untuk meloloskan diri serta cuba menghampiri kawasan pantai,” katanya.

Tambahnya, bagaimanapun bot terbabit berjaya diusir dan keluar dari perairan negara pada pukul 4 pagi. Namun pemantauan terhadap KM Sinar Utama itu terus dilakukan menerusi radar ACC Klang.

Dalam pada itu, Mohd. Rosli memaklumkan pengusiran bot yang membawa 40 pati itu juga sebagai penanda aras kejayaan Maritim Malaysia dalam menyelamatkan perairan negara daripada di masuki tekong secara haram.

“Ini juga sebagai satu usaha mencegah penularan wabak Covid-19 melalui Op Benteng. Aset-aset laut Maritim Malaysia sentiasa melaksanakan rondaan rutin dengan pemantauan rapat bagi mengesan sebarang sasaran curiga di perairan negara dan memastikan tidak dibolosi dengan mudah oleh penjenayah. 

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang berusaha dan mencabar undang-undang Persekutuan demi kedaulatan negara,” tegasnya. – UTUSAN

Tiada ulasan: