Sabtu, 30 Oktober 2021

Guna saja lambang bulan di Melaka, Tuan Ibrahim beritahu parti berbalah Umno, Bersatu

PETALING JAYA: Tuan Ibrahim Tuan Man bertindak mencadangkan barisan parti pemerintah menggunakan lambang PAS pada Pilihan Raya Negeri Melaka nanti, memandangkan dua parti yang berbalah, Umno dan Bersatu, masing-masing mahu bersama parti Islam itu.

Beliau yang juga timbalan presiden PAS mencadangkan perkara itu pada satu mesyuarat khas pemimpin tiga parti semalam.

“Malam tadi kita adakan mesyuarat dengan tiga parti, PAS-Umno-Bersatu. Nampaknya PAS dikehendaki oleh semua parti – Umno buat keputusan dia setuju bersama dengan PAS dan pada waktu sama Bersatu pun nak bersama kita.

“Lalu saya cadangkan guna saja lambang PAS,” katanya ketika merasmikan Muktamar Pemuda PAS Malaysia ke-62 di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan apakah reaksi Umno dan Bersatu terhadap cadangan itu.

Tuan Ibrahim mengingatkan kerjasama antara tiga parti itu bukan soal pembahagian kerusi semata-mata. Katanya, kepentingan orang Melayu dan Islam akan terjejas sekiranya ketiga-tiga parti itu tewas dalam pilihan raya.

Atas kesedaran itu, PAS mahu menunjukkan kepada Umno dan Bersatu akan pengalamannya yang panjang dalam politik.

“Presiden kita (Abdul Hadi Awang) menekankan soal asas kita jauh lebih besar dari soal kerusi…tidak ada parti yang ada pengalaman muafakat politik sehebat PAS. Kita boleh kompromi luar biasa yang jarang orang lain sanggup,” katanya.

“Kita pernah bagi kerusi kepada parti lain, bahkan dengan parti-parti lain, nak sebut pun geram,” tambahnya.

Tiada ulasan: