HARAKAH DAILY
KUALA LUMPUR: PAS menyuarakan keyakinan terhadap
pembentangan Bajet 2022 hari ini yang memfokuskan ke arah rakyat
berkebajikan serta tumpuan kepada pemulihan pembangunan negara ekoran
penularan pandemik Covid-19.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri
Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata bajet kali ini dirangka untuk memberi
manfaat semua pihak sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang
menjamin tiada seorang pun tercicir daripada agenda pemulihan negara
setelah mengalami kesukaran hidup akibat pandemik Covid-19.
Katanya, PAS yakin Bajet 2022 merupakan perbelanjaan berhemat serta berfokus kerajaan menyalurkan pelbagai inisiatif kepada rakyat pelbagai peringkat dan juga sektor-sektor ekonomi yang terjejas seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pelancongan yang masih dalam proses untuk pulih kembali sepenuhnya.
Jelasnya, Bajet 2022 juga harus fokus untuk membangunkan industri berpotensi tinggi untuk masa hadapan seperti ekonomi digital dan hijau yang akan menjadi pemangkin utama dalam ekonomi negara.
Sehubungan itu ujar beliau, PAS turut mengharapkan aspek modal insan dan pembangunan negara akan terus menjadi fokus walaupun ia agak mencabar dengan kedudukan fiskal negara.
Selain itu, kata Tuan Ibrahim, kerajaan turut akan menyentuh pelbagai isu berkaitan rakyat, termasuk pembangunan asas bagi kemudahan rakyat secara keseluruhannya.
“PAS yakin ia akan menumpukan aspek kebajikan rakyat yang terjejas teruk akibat Covid-19 akan diberi tumpuan.
“Keperluan pembangunan asas seperti jalan, lebuh raya, bekalan air serta isu perubahan iklim akan turut disentuh dalam bajet kali ini,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.
Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen petang ini merupakan kesinambungan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam memacu pemulihan ekonomi.
Sebagai bajet pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan yang pertama sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan, Bajet 2022 dijangka terus bercirikan pengembangan dan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan RMK12 yang akan memacu pertumbuhan ekonomi, keterangkuman dan kemampanan dalam jangka sederhana, berdasarkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030). – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan