Jumaat, 29 Oktober 2021

Saya patut jadi KM tapi Rauf halang, kata Idris Haron


Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron mendedahkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bercita-cita menjadi Ketua Menteri (KM) Melaka.

Menjawab tuduhan Rauf beliau menjatuhkan kerajaan UMNO Melaka untuk menjadi KM semula, Idris mendakwa tindakannya dibuat kerana pentadbiran tidak berjalan dengan baik.

“Saya tidak menjatuhkan kerajaan negeri untuk menjadi KM semula. Saya hanya mahu menghalang negeri daripada ditadbir dengan teruk,” katanya sambil mendedahkan Rauf yang mahu memegang jawatan KM.

Memetik laporan FMT, bekas KM Melaka ke-10 itu menjelaskan menjadi perkara biasa apabila sesuatu kerajaan tumbang maka ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menjadi KM atau Menteri Besar.

“Mengikut konvensyen, Ketua Pembangkang akan menjadi KM sekiranya berlaku pertukaran kerajaan. Semasa Pakatan Harapan menjadi kerajaan, saya adalah Ketua Pembangkang.

“Jadi, sebagai Ketua Pembangkang, saya sepatutnya menjadi KM (semasa PH tumbang),” katanya.

Bagaimanapun, Idris berkata, Rauf telah menghalang pelantikannya sebagai Ketua Menteri dan turut mengetepikan pemimpin kanan UMNO lain di negeri itu.

Beliau mendakwa Rauf menyokong ADUN Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk jawatan itu kerana ‘Sulaiman akan mendengar kata Rauf’.

“Rauf sebenarnya adalah KM de facto,” kata Idris.

Sebelum ini, Idris bersama tiga lagi ADUN – Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu Teluk Mas), menarik sokongan terhadap Sulaiman dan kerajaan UMNO.

Susulan itu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam membubarkan DUN pada 4 Oktober lalu bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November ini sebagai hari penamaan calon diikuti pengundian awal pada 16 November dan pengundian biasa 20 November.

Tiada ulasan: