Selasa, 19 Oktober 2021

Lebih 50,000 pesawah kecewa bekalan benih padi lewat

 Oleh ZAID MOHD NOOR

SEBAHAGIAN daripada pesawah yang menyertai himpunan pesawah bagi mendesak benih padi dibekalkan segera di Kampung Tempayan pecah, Jerlum, Kedah,  hari ini. - FOTO/ZAID MOHD. NOOR

JERLUN: Lebih 50,000 pesawah yang mengusahakan tanaman padi seluas 100,000 hektar di kawasan Lembaga Kemajuan Muda (MADA) di negeri ini mendakwa berlaku masalah kelewatan bekalan benih padi sah sejak tiga tahun lalu.

Pengerusi Badan Bertindak Petani Mada, Che Ani Mat Zain berkata, kelewatan bekalan benih padi tersebut menyebabkan pesawah tidak dapat mengikut jadual penanaman padi yang ditetapkan termasuk mengelakkan musim hujan dan kemarau.

Menurutnya, kegagalan pesawah menanam padi mengikut jadual ditetap akan menyebabkan hasil tanaman padi dan pendapatan mereka merosot kerana bertembung dengan musim hujan dan kemarau.

“Mengikut jadual, kebanyakan pesawah di kawasan MADA sepatutnya telah menerima bekalan benih padi dan mereka perlu menanam padi bermula 15 Oktober lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pemberita ketika mengetuai himpunan pesawah bagi mendesak benih padi dibekalkan segera di Kampung Tempayan Pecah, di sini hari ini.

Che Ani memberitahu, pada masa ini, pihaknya juga masih belum mendapat jaminan daripada syarikat pembekal padi terbabit tarikh bekalan padi dapat dihantar kepada pesawah di kawasan MADA.

Tambahnya, Kementerian Pertanian dan agensi yang terlibat sepatutnya dapat memastikan pembekal dan pengedar benih padi kepada pesawah mengikut jadual yang ditetapkan oleh MADA.

“Masalah kelewatan pesawah menerima bekalan benih padi berlaku sejak beberapa musim penanaman padi sebelum ini.

“Sehubungan itu, pesawah juga mengarahkan Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Pertubuhan Peladang Kawasan (Nafas) dam MADA dapat menyelesaikan masalah kelewatan bekalan benih padi dengan segera dan tidak berlarutan lagi selepas ini,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pesawah, Shafie Said, 66, pula mendakwa, pesawah juga berhadapan dengan kenaikan benih padi yang semakin mahal dan membebankan pesawah.

Jelasnya, kenaikan harga benih padi membebankan pesawah, selain pendapatan hasil jualan padi semakin merosot.

“Harga benih padi sebelum ini hanya RM35 bagi seguni benih padi seberat 20 kilogram (kg), namun sekarang telah melambung sehingga RM42 seguni bagi berat yang sama.

‘Setiap satu hektar, pesawah memerlukan kira-kira tujuh guni benih padi(setiap guni 20 kg),” katanya.

Tambahnya, harga baja dan racun padi juga semakin terlalu tinggi sejak kebelakangan ini. – UTUSAN

Tiada ulasan: