Ahad, 31 Oktober 2021

Kabinet putus tiada lagi kebenaran keluar produk berunsur sensitiviti

 Siti Hafidah

Keputusan dibuat susulan kontroversi arak jenama 'Timah'

BANGI – Kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan pengeluaran sebarang produk yang menimbulkan keresahan rakyat dalam konteks agama dan bangsa.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu dibuat Kabinet berikutan isu arak jenama tempatan, Timah.

“Kami memanggil syarikat pengeluaran arak (Timah) untuk menyatakan bantahan kami.

“Kabinet sudah buat keputusan tidak boleh lagi mana-mana pengeluaran yang apa saja pengeluaran yang boleh menimbulkan keresahan rakyat termasuk dalam konteks bangsa atau agama.

“Ini adalah dasar selepas kami membantahnya,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Sebelum ini, penggunaan jenama ‘Timah’ pada arak keluaran tempatan itu menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan umat Islam serta turut dibincangkan dalam Sidang Dewan Negara.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, syarikat pengeluar arak itu memohon tempoh selama seminggu bagi menukar nama dan imej pada label produk keluaran mereka.

Katanya, keputusan itu dicapai hasil perbincangan kerajaan dengan wakil syarikat pengeluar arak terbabit – Winepark Corporation (M) Sdn Bhd.

“Melalui perbincangan yang diadakan, syarikat ini memohon tempoh seminggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah bagi menukar nama dan imej pada label produk arak keluaran mereka,” katanya.

 

Tiada ulasan: