PONTIAN: Remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama bapanya terbabas kerana terlanggar tunggul kayu ditemukan lemas di Sungai Benut, petang tadi.
Mayat Mohd. Akmal Jamaludin, 17, ditemukan oleh unit penyelam bomba pada pukul 4.07 petang kira-kira 50 meter daripada lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
Sementara itu, bapa mangsa, Jamaluddin Jamil, 53, yang menceritakan semula kejadian itu berkata, pandangannya menjadi gelap secara tiba-tiba sebelum bot mereka terlanggar tunggul kayu terbabit.
“Keadaan itu menyebabkan anak saya tercampak dan bot kami terbabas ke dalam kawasan pokok bakau.
“Pada awalnya arwah boleh berenang tetapi selepas dua tiga minit dia mula tenggelam dan saya berusaha untuk menyelamatnya dengan meminta tolong tetapi tidak terdaya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Pontian, hari ini.
Terdahulu bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.59 pagi sebelum menghantar tujuh anggota ke lokasi kejadian yang berhampiran Pasar Awam Benut.
Tambah Jamaludin, anaknya sebelum ini tidak pernah mengikut dia menjaring udang di Sungai Pinggan, namun hari ini arwah menyatakan keinginan untuk turut sama sebelum mereka bertolak dari Jeti Nelayan Tampok Laut, pada 9 pagi.
Katanya, ketika sedang menjaring udang, arwah mengalami sakit perut sebelum mereka mengambil keputusan untuk pulang ke rumah di Kampung Permatang Sepam Darat.
“Tangkapan ketika ini pun tidak banyak lagi, tetapi disebabkan arwah menghadapi masalah itu, saya bercadang balik ke rumah melalui Sungai Benut,” katanya.
Tambah Jamaludin, Mohd. Akmal baru sahaja keluar dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) tiga minggu lalu setelah terlibat kemalangan motosikal yang menyebabkan dia perlu menjalani pembedahan di bahagian kepala.
Sementara itu ibunya, Jamaliah Sahlan, 52, berkata, pemergian arwah menjadikan dia kini hanya mempunyai tiga anak selepas abang Mohd. Akmal juga telah meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Katanya, arwah yang merupakan anak bongsu adalah harapan kepada keluarga memandangkan seorang lagi abangnya mengalami sakit angin ahmar dan tidak mampu untuk melakukan sebarang pekerjaan.
“Nasib kami seperti jatuh ditimpa tangga, arwah adalah harapan kami menggantikan peranan abangnya yang sakit selain kakaknya tetapi arwah juga telah dijemput Allah hari ini,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan