MALAYSIA akan membuka empat pintu sempadan antarabangsa baharu menjelang akhir tahun ini atau suku pertama tahun hadapan.
Perkara tersebut diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam sidang akhbar selepas meninjau Terminal Feri Antarabangsa Desaru Coast, Johor, hari ini.
Menurut Hamzah, empat pintu sempadan itu membabitkan Terminal Feri Antarabangsa Desaru Coast; Telok Melano dan Baleh di Sarawak serta Lembah Silika di Terengganu.
Hamzah berkata, pembukaan empat pintu sempadan antarabangsa itu bukan sahaja sebagai persediaan kemasukan pelancong, malah mampu melonjakkan ekonomi di kawasan berkenaan.
“Bagi Terminal Feri Antarabangsa Desaru Coast, Kota Tinggi, ia sudah bersedia untuk dibuka sepenuhnya dengan tinjauan hari ini mendapati semua agensi juga bersedia ditempatkan di kemudahan ini.
“Kita hanya tunggu pengumuman pembukaan sempadan sahaja bagi terminal ini beroperasi dan kita jangkakan menjelang Tahun Baharu Cina ia sudah boleh dibuka,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Hamzah memaklumkan, Terminal Feri Antarabangsa Desaru Coast turut dilengkapi sistem e-gate automatik imigresen dua arah pertama di Malaysia.
Kata beliau, sistem e-gate generasi baharu itu menawarkan pintu buaian berganda dengan ciri keselamatan menjadikan pemeriksaan imigresen lebih pantas ketika waktu puncak.
“Bagi pintu sempadan antarabangsa di Telok Melano dan Baleh (laluan darat) serta Lembah Silika, Terengganu (pintu masuk laut) pula, ia masih lagi dalam pembinaan dan dijangka siap tahun depan,” jelas beliau.
Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam menyaksikan sektor pertahanan dan ketenteraman awam terus diutamakan selepas kerajaan meluluskan empat pintu masuk imigresen baharu.
Antara pintu masuk baharu yang diumumkan antaranya di Telok Melano dan Baleh, Sarawak bagi memenuhi keperluan peningkatan pergerakan melalui imigresen susulan perubahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan dan pembukaan Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Telok Melano.
Dilengkapi sepenuhnya dengan kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta kemudahan maritim, Terminal Feri Desaru Coast akan melancarkan perjalanan antarabangsa ke Malaysia dengan akses terus dari Singapura, kepulauan Riau di Batam dan Kepulauan Bintan.
Terminal Feri Desaru Coast akan memulakan operasinya dengan Terminal Feri Tanah Merah, Singapura, pada 60 hingga 90 hari selepas pengumuman pembukaan semula sempadan antarabangsa.
Ia mampu memproses kemasukan 300 penumpang pada setiap waktu ketibaan dengan jangkaan kira-kira 102,000 kemasukan penumpang setahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan