Jumaat, 29 Oktober 2021

Kajian dapati tabiat buruk dalam talian punca data peribadi diceroboh di Malaysia

 MALAYSIA NOW

Kajian Google yang dijalankan YouGov mendapati kira-kira 57% pengguna internet pernah menjadi mangsa pencerobohan data peribadi atau mengenali seseorang yang pernah menjadi mangsa berpunca dari tabiat buruk dalam talian.

Kajian Google yang dijalankan oleh agensi penyelidikan pasaran YouGov bulan lepas mendapati hampir tiga dari lima pengguna internet di Malaysia pernah mengalami pelanggaran data peribadi atau mengenali seseorang yang pernah menjadi mangsa, berpunca daripada tabiat “mengitar semula” kata laluan.

Kajian melibatkan lebih 13,000 responden berumur 18 tahun ke atas di Hong Kong, Jepun, Korea, India, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam, mendapati 80% responden di negara-negara itu menggunakan kata laluan yang sama bagi pelbagai laman sesawang.

Daripada jumlah tersebut, dua dari lima atau 45% berkata mereka mengitar semula kata laluan yang sama bagi 10 platform internet, 40% lagi berkata mereka bimbang lupa kata laluan baru sementara 41% berkata mereka melakukannya kerana mudah.

Sementara itu, 51% daripada responden berkata mereka menggunakan kata laluan yang “boleh diteka” atau kata laluan yang mudah diketahui, dengan kombinasi tarikh penting, pasangan, nama haiwan peliharaan atau poskod.

25% lagi berkata mereka menyimpan kata laluan mereka dalam aplikasi “notes” dalam telefon mereka.

Disebabkan ledakan e-dagang sepanjang Covid-19 tercetus di seluruh dunia, Google berkata aktiviti dalam talian semakin berkembang ke tahap purata pengguna internet mempunyai 25% lebih kata laluan berbanding sebelum wabak melanda.

“Ini menyebabkan purata orang biasa memiliki 80 kata laluan atau lebih,” katanya dalam sebuah kenyataan sambil menambah data kewangan pengitar semula kata laluan hampir dua kali ganda (13% berbanding 7%) dicuri dalam talian.

Ia berkata pelanggaran berlaku “selalunya di mana-mana sahaja data itu dikongsi”.

Kajian itu juga mendapati 57% daripada responden tidak ragu-ragu untuk berkongsi kata laluan mereka dengan rakan atau keluarga, dan juga berkongsi kata laluan mereka dengan platform penstriman, perkhidmatan penghantaran makanan dan platform e-dagang untuk membeli-belah.

Dari segi urus niaga dalam talian, 60% berkata mereka membuat pembelian di laman atau platform yang tidak memiliki simbol selamat manakala 70% responden yang menyimpan maklumat kewangan dalam talian turut berkongsi kata laluan mereka dengan rakan dan keluarga.

Hal tersebut meletakkan diri mereka berdepan risiko lebih besar untuk menjadi mangsa pelanggaran data peribadi dengan kata laluan sama digunakan bagi pelbagai peranti.

“Jumlah tabiat buruk ini mungkin menyebabkan 57% responden di Malaysia mengalami pelanggaran data atau mengetahui seseorang yang pernah mengalaminya,” katanya.

Tiada ulasan: