Khamis, 28 Oktober 2021

Kerajaan panggil pihak cabar rampasan RM517,000 hasil judi dalam talian

Kerajaan mahu melucuthakan wang yang dirampas daripada tiga individu 
dan tiga syarikat. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan kerajaan menerbitkan warta persekutuan untuk memanggil mana-mana pihak mencabar rampasan wang lebih RM517,000 daripada dua ahli perniagaan dan yang lain berhubung dengan perjudian dalam talian.

Hakim Zaini Mazlan mengeluarkan perintah yang dipohon oleh Timbalan Pendakwa Raya Akram Akrab Gharib selepas peguam bagi individu dan syarikat terbabit tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Individu terbabit adalah ahli perniagaan Goh Leong Yeong, Zaidi Kanapiah dan isterinya, Alyaa Syuhaila Mohamad Shariff, manakala syarikat terlibat adalah Malaysian House of Internet Sdn Bhd, Networld Computer (KL) Sdn Bhd, dan Nine Nine International Sdn Bhd.

Mahkamah menetapkan 23 Dis sebagai tarikh sebutan berikutnya sementara menunggu penyiaran warta pihak ketiga.

Kerajaan berhasrat untuk melucut hak RM60,232.01 yang disimpan dalam tiga akaun bank milik Goh, serta RM353,723.81 dalam tiga akaun Amanah Saham Bumiputera dan dua akaun bank milik Alyaa.

Wang dalam akaun mereka didakwa datang daripada hasil aktiviti perjudian dalam talian dan perdagangan mata wang kripto tanpa lesen.

Kerajaan juga mahu melucutkan hak sejumlah RM27,310.69 yang disimpan dalam akaun Malaysian House of Internet Sdn Bhd dan Networld Computer (KL) Sdn Bhd milik Goh, serta RM75,846.82 lagi daripada Nine Nine International Sdn Bhd milik Zaidi.

Wang itu dibekukan oleh pihak berkuasa antara September dan Oktober 2020.

Zaidi yang juga dikenali sebagai Addy Kana, Goh dan dua pegawai polis ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) tahun lalu atas dakwaan terbabit dengan sindiket perjudian dalam talian.

Zaidi dan dua pegawai itu dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan awal tahun ini selepas ia memutuskan penahanan mereka dilakukan dengan niat jahat.

Bagaimanapun Goh, yang dikenali dengan nama Alvin Goh, kekal di pusat tahanan Simpang Renggam selepas Mahkamah Persekutuan mengesahkan penahanannya di bawah POCA. Beliau memohon semakan terhadap keputusan mahkamah berkenaan.

Dia dan abangnya, Yeong Hui, turut didakwa tahun ini atas tujuh tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.14 juta. Mereka didakwa menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang oleh dua warga China – Wang Hangang dan Feng Chuang – antara 9 Sept dan 11 Nov 2019.

Tiada ulasan: