Selasa, 26 Oktober 2021

Tiada parti dapat kelebihan daripada larangan perhimpunan

KUALA LUMPUR: Tiada parti politik mendapat kelebihan daripada larangan kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana ia dikuatkuasakan secara sama rata.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ronald Kiandee, berkata semua parti mesti akur dengan arahan itu walaupun beliau sendiri mengakui ia menjejaskan gerak kerja jentera pilihan raya.

Katanya, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 bukannya perkara baharu kerana sudah dilaksanakan hampir dua tahun lalu.

"Jadi tiada beza ketika pilihan raya. Tentu sekali semua pihak harus akur kepada SOP yang dikeluarkan sama ada oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Majlis Keselamatan Negara (MKN) ataupun Kementerian Kesihatan (KKM).

"Sudah tentu akan menganggu aktiviti (kempen) seperti sedia kala dan kita terpaksa buat penyesuaian, tetapi ia memberi kesamarataan kepada semua, bukan khusus untuk satu parti.

"SOP itu terpakai untuk semua parti yang terlibat dalam PRN Melaka," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0), di sini hari ini.

Semalam, KKM mengumumkan larangan perhimpunan yang berkaitan dengan pilihan raya berkuat kuasa hari ini hingga 27 November depan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata, perhimpunan itu termasuk penganjuran majlis seperti pelancaran jentera pilihan raya.

Peraturan itu dikritik oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew yang mendakwa arahan itu menguntungkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

"Apabila larangan kempen pilihan raya dikuatkuasakan, BN dan PN ada kelebihan untuk berkempen melalui media massa yang dikuasai kerajaan tetapi kami di PH hanya terpaksa bergantung pada media sosial," katanya.

Tiada ulasan: