Selasa, 26 Oktober 2021

Nur Sajat mengaku transgender

Nur Sajat mengaku mahu memulakan hidup baharu di Australia dan sedang menjalani kuarantin sehingga minggu depan. Foto NSTP
Nur Sajat mengaku mahu memulakan hidup baharu di Australia dan sedang menjalani kuarantin sehingga minggu depan. Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat mengaku dirinya transgender dan membuat keputusan meninggalkan negara selepas mendakwa keselamatan diri terancam.

Nur Sajat mendakwa mengalami kemurungan yang teruk hingga menjejaskan kesihatan mental lalu bertekad lari dari Malaysia.

"Pada satu tahap apabila mendapat tekanan dan layanan yang berunsur kekerasan, saya jadi takut dan trauma. Saya sampai jadi murung, terpaksa mengambil ubat dan mendapatkan rawatan serta terapi mental.

"Itu menjadi antara sebab yang saya putuskan untuk meninggalkan anak, empayar perniagaan, keluarga dan kawan-kawan. Saya tidak pernah berpisah berbulan-bulan dengan anak-anak.

Nur Sajat ketika ditemu ramah Harith dalam program ‘What’s Going On Malaysia’ yang disiarkan secara langsung di Facebook dan YouTube pelawak itu, malam tadi. Foto FB Harith Iskander
Nur Sajat ketika ditemu ramah Harith dalam program ‘What’s 
Going On Malaysia’ yang disiarkan secara langsung di 
Facebook dan YouTube pelawak itu, malam tadi. Foto FB 
Harith Iskander

"Detik terakhir bersama anak-anak, saya rakam video dan gambar sebagai kenangan. Berat hati, tapi saya terpaksa lari kerana rasa diri tak selamat," katanya ketika ditemu ramah Harith Iskandar dalam program 'What's Going On Malaysia' yang disiarkan secara langsung di Facebook dan YouTube pelawak itu, malam tadi.

Nur Sajat yang beberapa kali memberitahu dirinya transgender dalam temu ramah itu berkata, dia mendapat apa yang dimahukan setiba di Australia.

Nur Sajat mengaku memulakan hidup baharu dan sedang menjalani kuarantin sehingga minggu depan.

"Saya rasa lebih dihargai di sini (Australia) sebagai orang baharu. Saya sudah diberi nombor cukai. Saya juga diberi ruang untuk mengukuhkan kebolehan berbahasa Inggeris menerusi kelas.

"Saya didedahkan dengan belajar selok-belok berniaga termasuk import dan eksport. Mereka bantu saya daripada soal perumahan dan elaun hidup.

"Lebih utama, apa yang terjadi selama ini membuka mata saya soal hak asasi. Sebagai manusia kita kena tahu hal itu (hak asasi).

"Saya hendak 'move on' dan bina kehidupan baharu di sini sebagai 'transwoman'. Saya hendak teroka dan buka perniagaan di sini. Apa yang berlaku biarlah berlalu, saya belajar daripada kesilapan," katanya.

Nur Sajat tidak dapat menyembunyikan kesedihan terpaksa berjauhan dengan anak-anak.

"Saya masih menghubungi mereka dan menjalankan tanggungjawab. Mereka dijaga ibu bapa saya. Memang rindu anak, tanah air, syarikat dan lain-lain," katanya.

Selepas berbulan-bulan dalam pemburuan dengan destinasi terakhir di Bangkok, Thailand, Nur Sajat mengesahkan dirinya sudah berada di Australia pada 18 Oktober lalu.

Nur Sajat dilaporkan sedang menjalani kuarantin di Canterbury, Australia, dan sudahpun secara rasmi berhijrah ke Negara Kanggaru itu dengan bantuan Kerajaan Australia, ketika 'live' di media sosial miliknya.

Untuk rekod, Nur Sajat sebelum ini ditahan di sebuah kondominium di Thailand oleh pihak imigresen negara itu, selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan maklumat mengenai keberadaan usahawan dalam buruan berkenaan yang lolos melalui laluan kereta api di Padang Besar, Perlis.

Ketika ditahan, Nur Sajat mengemukakan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan ibu pejabat suruhanjaya itu di Bangkok dan memaklumkan dia akan berhijrah ke Australia.

Tiada ulasan: