Selasa, 26 Oktober 2021

Hua Zong minta kerajaan pinda Perlembagaan, kukuh kedudukan vernakular

 Ainul Illia

Mahu pembiayaan secukupnya untuk tambah SJKC baharu dalam Belanjawan 2022

KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum Cina, Hua Zong meminta kerajaan mengadakan perbincangan yang mendalam mengenai kedudukan sekolah vernakular di bawah Perlembagaan Persekutuan serta meminda atau memperkuatkan peruntukan yang relevan jika perlu. 

Presiden Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan yang menggesa perkara itu berkata, ia bagi mengelakkan kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaa Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) di bawah Perlembagaan terus dicabar.

“Kerajaan diminta mempertimbangkan keperluan untuk meminda peruntukan Perlembagaan bagi memperjelaskan dan menegaskan kedudukan sekolah vernakular, penggunaan serta pengembangan bahasa pengantar utamanya di bawah Perlembagaan Persekutuan bagi melindunginya daripada terus diputar belit dan dicabar,” katanya seperti dipetik Oriental Daily News Malaysia.

Bukan itu sahaja, Tian Chuan turut meminta kerajaan memantau secara aktif perkembangan mana-mana gerakan yang tidak mesra kepada pendidikan Cina, terutama yang mencabar kedudukan sekolah vernakular di bawah Perlembagaan di mahkamah.

“Kami (Hua Zong) kecewa dan kesal terhadap tindakan pihak-pihak berkenaan yang telah membawa perkara ini ke mahkamah, kerana kami berpendapat usaha dan tindakan mencabar kedudukan sekolah vernakular di mahkamah adalah tidak perlu. 

“Oleh itu, kami berharap agar kerajaan dan badan kehakiman dapat memantau kegiatan seperti ini, dan mengambil semua  langkah yang sewajarnya bagi mempertahankan Perlembagaan dan keadaan negara yang sedia ada,” katanya.

Tian Chuan berkata, masyarakat Cina melahirkan rasa bimbang kerana seksyen 2,17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan sekolah vernakular menggunakan bahasa Cina dan Tamil sebagai medium pengantar utama telah dicabar di mahkamah kerana didakwa tidak selaras dengan Artikel 152 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, 11 pertubuhan yang berkepentingan telah diberikan hak mencelah dalam kes tersebut.

“Kami (Hua Zong) akan memberikan kerjasama dan sokongan penuh kepada Dong Zong dan kerajaan Malaysia sebagai pihak responden,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai Belanjawan 2022, Tian Chuan juga berharap semua sekolah, termasuk SJKC akan terus mendapat pembiayaan secukupnya daripada kerajaan untuk kos pembangunan dan kemajuan yang melibatkan pembinaan sekolah.

Ia termasuk pembiayaan untuk penambahan SJKC baharu dan pembinaan sekolah untuk SJKC yang dipindahkan ke kawasan baru serta tenaga pengajarnya, tegasnya.

Beliau berharap kerajaan tidak akan mengumumkan hanya satu jumlah dalam belanjawan akan datang seperti tahun lepas. 

Sebaliknya, beliau menuntut kerajaan perlu menyenaraikan dengan jelas butiran peruntukkan untuk sekolah setiap aliran. 

Pada masa sama, Tian Chuan meminta kerajaan menerangkan kepada penduduk setempat berkenaan lokasi pembinaan sekolah vernakular, keperluan penduduk setempat terhadap SJKC dan peruntukan yang diperlukan untuk penambahan SJKC baharu atau pemindahan SJKC ke kawasan baru.

“Saya juga berharap kerajaan boleh menginstitusikan peruntukan kepada pendidikan Cina dalam belanjawan yang akan dibentangkan.

“Termasuklah peruntukan kepada 63 buah sekolah menengah persendirian Cina (SMPC), sekolah menengah jenis kebangsaan Cina (SMJKC) dan tiga buah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang dikendalikan oleh masyarakat Cina,” katanya.

Tiada ulasan: