Ahad, 17 Oktober 2021

Tiada kompromi guru enggan divaksin: Amaran Radzi Jidin


Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengulangi pendirian kementeriannya untuk tidak membenarkan guru yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 mengajar secara bersemuka apabila sekolah dibuka semula tidak lama lagi.

Menurutnya sehingga kini seramai 2,000 guru di seluruh negara didapati masih enggan mengambil suntikan vaksin berbanding 2,500 guru setakat 5 Oktober lalu.

Katanya, walaupun jumlah itu tidak besar berbanding lebih 415,000 keseluruhan guru yang ada, kesannya kepada ekosistem dan operasi sekolah cukup besar, khususnya apabila melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK), yang perlu berada rapat dengan guru.

“Begitu juga kita ada keadaan di mana terdapat guru pra sekolah dan pembantu murid pra sekolah yang tidak mahu divaksinkan,” katanya sambil mengulangi penjelasan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah mengeluarkan kenyataan semua penjawat awam perlu mengambil vaksinasi sebelum 1 November.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan guru yang enggan mengambil suntikan vaksin supaya memberi perhatian berat arahan JPA berkenaan.

“Apapun kami tidak akan berkompromi dengan perkara berkenaan. Jika perlu membawa keluar guru terbabit atau memindahkan mereka, ia akan dilakukan. Kita bukan mengugut tetapi ia perlu dilakukan kerana penting untuk operasi sekolah,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi amaran guru yang tidak mengambil vaksin Covid-19 boleh membahayakan kesihatan pelajar dan rakan setugas di sekolah.

Sehubungan itu beliau menggesa guru yang belum berbuat demikian segera mendapatkan vaksin demi melindungi semua pihak, terutama murid yang akan memulakan sesi pembelajaran bersemuka tidak lama lagi.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dengan tegas memberi amaran kepada kumpulan antivaksin bahawa mereka tidak akan menikmati apa-apa kelonggaran sebagaimana diberikan kepada individu lengkap divaksin.

Ketegasan beliau dinyatakan apabila memberi peringatan:

“Kita akan menyusahkan hidup kumpulan antivaksin supaya mereka berterusan tidak dibenarkan menikmati apa-apa kelonggaran seperti individu lengkap vaksinasi.”

“Ia mungkin agak kasar tetapi pendekatan kita juga adalah untuk ‘menyusahkan’ hidup mereka yang memilih untuk tidak divaksin.”

Tiada ulasan: