Ahad, 17 Oktober 2021

Giliran Najib pula nasihat jaga kesihatan, tapi Zahid tak sesuai guna dumbbell


Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan kebolehan dan kehebatannya melakukan senaman ‘plank’, kali ini giliran Datuk Seri Najib Razak pula menunjukkan antara cara-cara untuk menjaga kesihatan dan mengempiskan perut.

Kedua-dua mereka adalah rakan karib kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengalami masalah sakit tulang belakang dan akan mendapatkan rawatan di Jerman, setelah mahkamah mengembalikan sementara pasport antarabangsanya.

Namun senaman yang ditunjukkan oleh Najib hari ini menerusi klip video yang dimuat naik dalam laman Facebook beliau mungkin tidak sesuai dilakukan Zahid.

Bekas Perdana Menteri itu bersenam menggunakan peralatan angkat berat ‘dumbbell’ dan perlu berbaring secara menelentang dan mengangkat ‘dumbbell’.

Kata Najib jika setiap hari dilakukan seperti yang ditunjukkannya selama 15 hingga 30 minit kesihatan akan lebih baik.

Cara senaman ditunjukkan Najib itu dianggap berguna juga untuk mengempiskan perut kebanyakan pemimpin UMNO yang membuncit.

“Kalau setiap hari kita ambil masa 15-30 min untuk exercise pun ok. Untuk kesihatan diri.

“A healthy life is a happy life!,” kata Najib seolah-olah menyindir Zahid yang kerap sakit belakang hingga kadang-kadang menjejaskan perbicaraan kes rasuahnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Sebelum ini, Anwar yang dianggap sebagai cikgu kepada Zahid berkongsi dalam satu hantaran Facebook dipercayai ditujukan kepada anak muridnya cara senaman terbaik untuk menjaga tulang belakang.

Zahid yang mengalami sakit belakang baharu mendapat semula pasportnya untuk mendapatkan rawatan di Jerman, negara sama Anwar menerima rawatan sakit belakangnya sebelum ini.

Plank mampu meningkatkan kekuatan otot abdomen dan menstabilkan tulang belakang. Ia mampu memberi kesan kepada keseimbangan badan iaitu tidak mudah jatuh ketika berjalan ataupun cedera ketika bersenam.

Menurut American Council on Exercise, seseorang yang melakukan plank setiap hari bukan sahaja boleh mengurangkan sakit belakang malah ia juga memberikan sokongan kuat kepada bahagian tersebut.

Zahid sebelum ini juga dirawat di hospital susulan sakit tulang belakang yang dialaminya sehingga perbicaraan kes mahkamah dihadapinya beberapa kali ditangguhkan. Kali ini ia nampak serius sehingga terpaksa mencari rawatan di luar negara untuk menyembuhkan kesakitan tersebut.

Tiada ulasan: