Rabu, 20 Oktober 2021

Selamat tinggal dunia mak nyah, luahan Cikgu Erin


Kisah Cikgu Erin, atau Mohd. Khariri Mohamad Ramli, 42, seorang mak nyah yang kembali ke pangkal jalan pernah tular di laman maya dan mendapat liputan meluas media sekitar 2012.

Keterbukaan guru ini menceritakan ‘episod hitam’ dilaluinya sepanjang bergelar mak nyah membuka mata banyak pihak.

Ada yang menilai keberaniannya membuka pekung di dada itu dari sudut positif namun pada masa sama, tidak kurang yang mencebik muka dan mempertikaikan niatnya.

Malah, ada yang skeptikal dengan penghijrahan Erin serta tidak yakin dia dapat bertahan dengan dunia baru sebagai lelaki selepas lebih 20 tahun terperangkap dalam jiwa wanita.

Hari ini selepas lapan tahun, dia membuktikan berjaya mematahkan semua tanggapan negatif dilemparkan ke atasnya. Walaupun secara fizikal, dia masih tidak mampu membuang perwatakan lembut, secara dalaman dia mendakwa sudah bergelar lelaki sejati.

“Saya pernah sesekali berpakaian wanita, ditata rias oleh ibu saudara namun tidak sampai mengekalkan imej wanita tersebut. Sebenarnya kelembutan bukan dibuat-buat tetapi datangnya sejak azali.

“Saya gemarkan aktiviti yang lebih berkonsepkan kanak-kanak perempuan. Kawan-kawan pun lebih pada kanak kanak perempuan,” katanya yang kini bertugas sebagai guru.

Tambah Mohd Khariri, dia ada berkawan dengan kanak-kanak lelaki namun lebih berhati-hati gara-gara pernah dibuli dari segi emosi, mental dan fizikal.

Mengenai pandangan tentang lelaki lembut, Mohd Khariri, berkata ibu bapa yang mempunyai anak lelaki lembut, didiklah mereka dengan penuh kasih dan sayang.

“Kawal pergaulan anak-anak dan pastikan kita mengenali siapa rakan-rakannya dan tegas dalam sesuatu yang bercanggah dalam landasan agama.

“Selalulah solat berjemaah kerana ia boleh mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan terutama anak-anak yang cenderung ke arah yang tidak baik,” katanya.

Memanjatkan syukur kepada Allah dan sokongan semua pihak untuk dirinya, dia kini mengakui selesa dan reda sebagai seorang lelaki.

Mengimbas detik-detik awal dirinya terpesong menjadi mak nyah,  Mohd. Khariri memberitahu segala-galanya bermula sewaktu alam kanak-kanak.

Sebagai anak bongsu, dia sangat rapat dengan ibu dan arwah kakak sulungnya.

Kebetulan dia memang suka bergaya dan ingin kelihatan cantik seperti seorang wanita. Anak patung dan main masak-masak menjadi kegemarannya.

“Semasa di sekolah, naluri saya juga lebih kepada lelaki. Suara saya juga bukan buat-buat. Tengoklah saya tidak mempunyai halkum,” ujarnya sambil tersenyum.

Bagaimanapun, jelas Mohd. Khariri, pernah terdetik di hatinya, sampai bilakah dia akan menjadi sedemikian?

Dia pernah mencuba untuk menjadi lelaki sejati tetapi tidak berjaya.

Ini kerana menurutnya, dia tidak boleh menipu diri sendiri selain hatinya memberontak.

Hari ini, Mohd. Khariri bukan sahaja seorang insan yang berjaya dengan kerjayanya malah dia juga gembira di samping keluarga tersayang.

Mohd. Khariri sememangnya seorang individu yang amat bertuah kerana ibu bapanya sentiasa memberi sokongan.

“Mereka jugalah yang banyak memberi saya nasihat dan dorongan untuk berubah. Walaupun ada yang mencemuh termasuk insan terdekat, saya tidak pernah mengalah. Saya meneruskan pelajaran sehingga berjaya dalam kerjaya. Semasa di sekolah, saya juga sangat aktif dalam pelbagai bidang sama ada pelajaran atau kesenian,” katanya.

Tiada ulasan: