Rabu, 20 Oktober 2021

JKM cari waris bayi dibuang berhampiran rumah kongsi

Sinar Harian
JKM cari waris bayi dibuang berhampiran rumah kongsi
JKM mencari waris bayi perempuan yang dijumpai berhampiran rumah kongsi perumahan Taman Ara Sendayan, Seremban pada 7 September lepas. -Foto Sinar Harian
 
SEREMBAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seremban mencari ibu kandung atau waris kepada bayi perempuan yang dijumpai oleh orang awam berhampiran rumah kongsi perumahan Taman Ara Sendayan, Seremban di sini pada 7 September lepas.
 
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah, Mustafal Bakri Mohammad Yusof berkata, bayi berusia sebulan enam hari itu telah diselamatkan seperti mana peruntukan Seksyen 17(1)(e)(ii) Akta Kanak-Kanak 2001.
 
"Bayi berkenaan diperintahkan diletakkan pada orang yang layak dan sesuai pada Rabu lepas.
"JKM juga menerima kebenaran mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001 untuk melakukan siaran akhbar," katanya kepada Sinar Harian.
 
Mustafal Bakri berkata, JKM ingin mengesan waris kepada bayi itu bagi tujuan siasatan serta tindakan lanjut.
 
"Waris atau kenalan serta orang awam yang mengenali ibu kandung kepada bayi terbabit boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak, Emelia Kamarulzaman 06-6015798," katanya.
 
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di atas rumput berdekatan rumah kongsi berhampiran Precint 3, Taman Ara Sendayan di sini pada 7 September lepas.
 
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim dalam kenyataannya berkata, polis menerima maklumat berkenaan penemuan bayi itu pada jam 11.52 pagi daripada seorang lelaki.
 
Pemeriksaan di lokasi mendapati, bayi itu masih mempunyai tali pusat serta uri dan tidak mengalami sebarang kecederaan melainkan hanya terdapat gigitan serangga.
 
Sementara itu, berdasarkan keadaan bayi berkenaan, polis percaya bayi itu dilahirkan kurang daripada 12 jam.
 
*Berita asal di Sinar Harian

Tiada ulasan: