Selasa, 19 Oktober 2021

Sajjad mengaku berada di Australia, masih seorang Muslim

MGF16122019_SAJAT_04
Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman.

KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat mengaku dia kini berada di Australia.

Pengesahan itu dibuat secara langsung di media sosial miliknya selepas memberitahu dia sedang menjalani kuarantin di Canterbury, Australia dan secara rasmi berhijrah ke sana dengan bantuan kerajaan Australia.

Sajjad memberitahu, dia tidak melarikan diri sebaliknya hanya berhijrah.

“Kita tak lari, kita berhijrahlah. Tak baik kata kita lari you all (anda semua) yang kata kita lari tak boleh terima hakikatkan,” katanya ketika menjawab soalan pengikutnya di media sosial.

Mengulas mengenai status agamanya, Nur Sajat menegaskan dia masih beragama Islam.

“I (saya) rasa kalau I (saya) masih Islam…biarlah you (kamu) dengan Islam you (kamu). This is more respect (ini lebih hormat). Tak perlulah you (kamu) nak judge (hakimi) I (saya) ke apa ke. Kita hormat satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Nur Sajat juga menegaskan, dia dalam perancangan untuk membuka perniagaan di negara berkenaan.

Sajjad sebelum ini ditahan di sebuah kondominium di Thailand oleh pihak imigresen negara itu, selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan maklumat mengenai keberadaan usahawan dalam buruan berkenaan yang lolos melalui laluan kereta api di Padang Besar, Perlis.

Ketika ditahan, Nur Sajat mengemukakan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan ibu pejabat suruhanjaya itu di Bangkok dan memaklumkan dia akan berhijrah ke Australia.

Sebelum ini, media melaporkan misteri ‘kehilangan’ Nur Sajat terjawab apabila dia dilaporkan ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.

Pada 9 September lalu, atas kesalahan memasuki Thailand secara tidak sah, Nur Sajat didakwa di mahkamah, namun usahawan kosmetik itu dibebaskan pada 10 September lalu dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

Tiada ulasan: