ALOR SETAR: Kanak-kanak berusia lima tahun yang koma selepas dipatuk ular tedung senduk di Pendang, Sabtu lalu kembalio sedar dan dipindahkan ke wad biasa di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.
Adam Khairi Naufal Abdul Wahab koma selepas kaki kanannya dipatuk ular berbisa itu ketika berada di dapur rumah neneknya di Paya Kerchut, Pendang dekat sini.
Ibu mangsa, Nur Farhana Abu Bakar berkata, pihak hospital memaklumkan bisa atau racun ular itu tidak merebak ke bahagian anggota lain yang boleh memberi kesan lebih bahaya kepada anaknya.
Menurutnya, Adam Khairi Naufal juga semakin sihat dan tidak lagi bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
“Saya dimaklumkan oleh doktor di HSB semalam, Adam Khairi Naufal sudah mulai sedar dan tidak perlu menggunakan alat bantuan pernafasan selepas kesihatannya semakin stabil.
“Malah doktor juga sudah berhenti memberikan ubat tidur dan sekarang hanya diberi antibiotik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Farhana berkata, dia sangat bersyukur mendengar perkembangan tersebut dan berharap anaknya itu segera sembuh.
Utusan Malaysia pada 18 Oktober melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berumur lima tahun koma selepas dipatuk seekor ular tedung senduk di rumah neneknya di Paya Kerchut, Pendang.
Mangsa cedera di kaki kanannya akibat dipatuk ular tedung senduk ketika berada di dapur rumah itu pada pukul 2.30 petang. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan