Selasa, 19 Oktober 2021

Raja Muda Perlis nasihat jaga kesihatan mata

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
TUANKU SYED Faizuddin Putra Jamalullail (kanan) menyampaikan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 30 orang asnaf terpilih Masjid Al Mukminin, Kampung Kota Kayang di pekarangan Masjid Terapung Al Hussain Kuala Perlis, hari ini.

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan rakyat menjaga kesihatan mata bagi mengelak sebarang gangguan seperti masalah penglihatan dan buta.

Titah baginda, sebarang gangguan penglihatan memberi kesan dan impak yang besar kepada semua aspek kehidupan.

“Marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan mata masing-masing bagi mengelak sebarang gangguan terhadap kesihatan mata,” titah baginda di sini hari ini.

Baginda bertitah demikian bersempena kempen Perlis hebat rakyat bermentaliti kelas pertama dalam tindakan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bagi meraikan hari penglihatan sedunia.

Berdasarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tema sambutan pada 14 Oktober itu adalah ‘cintai matamu’ yang menekankan kepentingan kesedaran tentang penjagaan penglihatan dan kesihatan mata.

Aktiviti tersebut turut disekalikan dengan penyerahan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Pengerusi Jawatankuasa kariah Masjid Al Mukminin, Kampung Kota Kayang, Amran Anjang Mat Desa di pekarangan Masjid Terapung Al Hussain Kuala Perlis. 

Bantuan berjumlah RM21,000 itu diagihkan kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan dengan masing-masing menerima RM700.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Sirajuddin Hashim memaklumkan. menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekurang-kurangnya satu bilion individu di seluruh dunia mengalami gangguan penglihatan jarak dekat atau jauh yang dapat dicegah atau boleh ditangani. 

“Gangguan penglihatan melibatkan semua peringkat umur, dengan majoriti adalah mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas. Di Malaysia, penyakit kanta mata atau katarak merupakan penyebab utama buta diikuti oleh komplikasi akibat penyakit diabetes. 

“Antara penyebab lain adalah keadaan semula jadi ketika lahir yang menyebabkan kerosakan pada saraf mata, penyakit genetik, proses penuaan, ketumbuhan atau kanser, jangkitan atau kecederaan,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: