Selasa, 19 Oktober 2021

Pengurus jenazah COVID-19 penerima Anugerah Maulidur Rasul Melaka, bekas KP Jakim di KL

Penyampaian anugerah pelbagai kategori sempena Sambutan Maulidur Rasul Perngkat Negeri Melaka yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, dan turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Masjid Al Azim hari ini./ Gambar FB Istana Melaka.

PENGURUS jenazah COVID-19, Hasnul Hussein, 52, di Hospital Melaka dipilih penerima Anugerah Abu Thalhah sempena Majlis Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul 1443 Hijrah peringkat negeri, di Auditorium Masjid Al-Azim, Melaka.

Penyampaian anugerah pelbagai kategori itu diberikan atas sumbangan dan khidmat bakti penerima yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam, dan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sementara itu, Hasnul berkata, sejak bulan lalu, bilangan jenazah yang diuruskan semakin berkurangan saban hari, berbanding beberapa bulan sebelumnya.

“Pada bulan Julai hingga Ogos kadang kala jumlah jenazah yang perlu diuruskan di Jabatan Forensik Hospital Melaka mencecah 15 jenazah sehari.

“Namun keadaan ini berbeza dan semakin baik… hanya satu atau dua jenazah sehari dan kadang kala ada hari tiada langsung kematian berkait COVID-19, yang perlu diuruskan,” katanya seperti dilapor Bernama hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan keberkesanan pemberian vaksinasi kepada rakyat di negara ini menyebabkan situasi itu semakin baik.

Mengenai anugerah diterimanya, Hasnul berkata, menguruskan lebih 100 jenazah COVID-19 sejak tahun lalu tidak pernah dianggap sebagai beban, malah ia ibarat memikul amanah demi menunaikan tuntutan fardu kifayah.

Beliau berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya tanggunjawab itu memenatkan, biarpun dibasahi keringat kerana perlu lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) dan keadaan bilik yang sempit serta berbahang.

Katanya, pengendalian jenazah COVID-19 agak mencabar kerana ia berbeza dengan proses menguruskan kematian lain, kerana ia membabitkan proses tayamum dan solat jenazah hingga jenazah dimasukkan ke dalam van untuk dibawa ke kubur.

“Saya bersama pasukan akan bertugas pada awal pagi dan sekiranya diperlukan akan bertugas menguruskan jenazah pada waktu malam juga.

“Selagi kita berniat kerja sebagai ibadah, saya tidak pernah rasa gusar dijangkiti virus kerana perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka disempurnakan 
oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, 
dan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali 
di Masjid Al Azim./ Gambar FB Istana Melaka.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan bagi tahun ini.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam kenyataan memaklumkan, keputusan dilakukan Jawatankuasa Panel Pemilihan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 1443H itu adalah berdasarkan sumbangan cemerlang terhadap pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam.

Othman ketika berucap menerusi rakaman video berkata beliau menganggap anugerah yang diterima itu sebagai amanah dan tanggungjawab beliau kepada agama dan negara, demi memastikan syiar Islam terus disemarakkan.

Ahli Lembaga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) itu berkata, beliau akan terus menyumbang kepakaran ilmu bagi membangunkan masyarakat Islam, khusus di Wilayah Persekutuan supaya mampu berdaya saing, progresif, dinamik dan bersatu berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Harapan saya semoga Islam terus dipandang mulia dan masyarakat kita hidup dalam suasana harmoni, aman damai, serta selaras dengan gagasan Keluarga Malaysia,” katanya seperti dilapor BERNAMA pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 2021 hari ini.

Anugerah Khas Individu pula diberikan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Zikay Group Berhad Datuk Mohd Khay Ibrahim, manakala Anugerah Khas Organisasi bagi Kategori Masjid (Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan); Kategori Surau (Surau Jumaat Al-Hikmah Projek Perumahan Rakyat Beringin); dan Kategori Sekolah Rendah Agama atau Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) (SIRAJ Saidina Uthman bin Affan).

Bagi kategori Institut Pendidikan Islam Swasta pula diberikan kepada Sekolah Rendah Islam Cahaya Ummi, selain kategori Badan Bukan Kerajaan diberi kepada Persekutuan Seruan Islam Selangor Dan Wilayah Persekutuan (Jam’iyah).

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad ketika berucap merasmikan majlis tersebut berkata beliau mengajak agensi hal ehwal Islam terus bangkit bersama masyarakat, untuk membantu dan bina semula negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Dalam konteks Wilayah Persekutuan, adalah menjadi harapan saya, agar Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bersama JAWI, terus melipatgandakan usaha memperkasa umat Islam dalam aspek pendidikan, sosioekonomi, kebajikan termasuklah aspek penyatuan dan perpaduan ummah,” katanya.

Tiada ulasan: