Khamis, 7 Oktober 2021

Projek perumahan ‘gajah putih’ kini cecah RM5.57 bilion

MALAYSIA POST

Projek perumahan ‘gajah putih’ kini cecah RM5.57 bilion

NILAI projek perumahan swasta yang terbengkalai di seluruh negara telah mencecah hampir RM5.57 bilion dalam nilai pembangunan kasar (GDV) setakat 30 September 2021.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata ia meliputi 79 projek perumahan swasta membabitkan 17,724 unit rumah terbengkalai di Semenanjung Malaysia dengan 11,824 orang pembeli.

“Kalau dari sudut GDV, jumlah mencecah hampir RM5.57 bilion, tetapi perlu diingat, ada projek terbengkalai yang melewati tempoh 10 tahun akan mengalami susut nilai, jadi yang saya beri ini hanya anggaran,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) berhubung nilai sebenar keseluruhan projek perumahan terbengkalai di seluruh negara dan perbelanjaan terpaksa ditanggung kerajaan.

Menurutnya, kerajaan memperkenalkan dua kaedah yang dilakukan untuk pemulihan projek iaitu kaedah mediasi dengan berunding bersama likuidator untuk membeli semula rumah dan menukarkan menjadi perumahan kos rendah.

Beliau berkata, seterusnya adalah berdasarkan intervensi, dimana kerajaan menyediakan dana untuk memajukan perumahan kos rendah dan kos sederhana.

“Dari segi ini, jumlah yang kerajaan telah belanja hampir tempoh 10 tahun adalah RM219.793 juta, ini merupakan ‘direct’ intervensi sehinggalah projek rumah itu selesai,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: