Sabtu, 23 Oktober 2021

PM hulur sumbangan peribadi kepada keluarga arwah Mohd. Diya

Oleh ABDUL HADI AB. MANAP
SYED Mohd. Fazmi Sayid Mohamad (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Noraida Che Noh (dua dari kiri) sambil diperhatikan Pengarah JBPM Melaka, Abu Bakar Katain (kanan) di Taman Krubong Jaya, Melaka. - FOTO/RASUL AZLI SAMAD

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghulurkan sumbangan peribadi kepada keluarga Allahyarham Mohd. Diya Che Jusoh, anggota bomba yang meninggal dunia selepas lemas ketika operasi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, Rabu lalu.

Sumbangan wang tunai dan ucapan takziah telah disampaikan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Syed Mohd. Fazmi Sayid Mohamad kepada isteri Allahyarham, Noraida Che Nor, 39.

Dalam pertemuan kira-kira sejam di rumah Allahyarham di Taman Krubong Jaya, Krubong di sini petang tadi, beliau meluangkan masa berbual dan bertanyakan tentang keperluan serta masalah keluarga itu setelah pemergian Mohd. Diya.

“Di kesempatan ini juga, saya menyampaikan salam takziah daripada Perdana Menteri dan mendoakan supaya keluarga ini terus tabah meneruskan kehidupan mereka.

“Perdana Menteri menyatakan rasa dukacita mengenai insiden yang menimpa Allahyarham Mohd. Diya yang terkorban dalam operasi menyelamat semalam,” katanya ketika ditemui pemberita.

Jenazah Mohd. Diya selamat dikebumikan di Perkuburan Masjid An-Nur, Kampung Krubong di sini, semalam.

Jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 11.20 pagi selepas disembahyangkan di masjid berkenaan dan pengebumian selesai pukul 11.50 pagi.

Urusan pengebumian jenazah dilaksanakan dengan istiadat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dihadiri kira-kira 200 anggota serta penduduk kampung untuk memberi penghormatan terakhir.

Syed Mohd. Fazmi menambah, JBPM juga telah diminta mengambil tindakan terbaik terutama aspek kebajikan keluarga Allahyarham.

“Pihak bomba juga memaklumkan telah mengambil inisiatif dan bentuk bantuan dari segi kebajikan, tanggungan anak-anak arwah akan diselesaikan demi memastikan hal ehwal mereka terjaga.

“Pada masa yang sama, pihak majikan juga akan menguruskan soal pencen dan gratuiti arwah,” jelasnya. – UTUSAN

Tiada ulasan: