SERIAN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar sedang melaksanakan 38 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di seluruh Sarawak membabitkan peruntukan keseluruhan RM1.7 bilion.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelaksanaan projek-projek berkenaan adalah sebahagian tanggungjawab kementerian itu dalam menyediakan prasarana untuk rakyat, khususnya di negeri Sarawak.
Katanya, kementerian itu akan meneruskan projek bekalan air luar bandar itu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang telah berjalan mulai tahun ini sehingga tahun 2025.
“Perdana Menteri telah mengumumkan RMK-12 tiga minggu lalu di Dewan Rakyat dan kita mengambil kutipan daripada bajet berkenaan untuk 2021 hingga 2025. Untuk 2022, insya-Allah pada minggu depan ada pengumuman bajet di peringkat Dewan Rakyat dan kita akan tahulah lebih kurang perbelanjaan yang akan digunakan untuk tahun 2022,” katanya.
Mahdzir berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tangki air aras tinggi dan simbolik penyerahan projek bekalan air luar bandar di Kampung Mentong Merau/Mongkos, di sini hari ini.
Mengenai projek bekalan air di Kampung Mentong Merau/Mongkos itu, Mahdzir memberitahu, projek tersebut bermula sejak 2017 dan menelan kos RM112 juta untuk dimanfaatkan oleh 14,385 penduduk di kawasan berkenaan.
Katanya, pelaksanaannya melibatkan kerja pemasangan saluran paip sepanjang 165 kilometer (km), pembinaan tangki aras tinggi berkapasiti satu juta liter di Kampung Senggai Mawang dan 2.5 juta liter di Kampung Muara Ahi.
Projek itu, tambahnya, turut melibatkan pemasangan paip ke rumah-rumah dan pembinaan stesen pam penggalak.
“Projek ini boleh menampung sebanyak lebih kurang 5,000 buah rumah penduduk dan dijangka siap sepenuhnya November tahun ini. Pembikinan paip rumah-rumah sedang disusun dan kalau semuanya berjalan lancar maknanya hujung tahun ini penduduk dapat menggunakan air bersih,” katanya. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan