Mohd Luttfi Abd Khalid
Belum kelihatan lagi sosok tubuh yang akan lahir dan bangkit melewati sempadan politik kepartian yang sempit
SEKIRANYA perlumbaan merebut dan mengekalkan kuasa secara tamak haloba tidak dihentikan oleh parti-parti Melayu Islam menjelang PRU15 nanti, yang akan menang dan dominan adalah parti-parti bukan-Melayu, yang rasis lagi cauvinis.
Yang akan menanggung kerugian dan derita berpanjangan adalah bangsa dan umat semata-mata.
Ini kerana para pemimpin politik Melayu dan Islam terlalu sibuk:
Berebut kuasa;
Mempertahankan kuasa;
Menggadai prinsip;
Menukar kesetiaan;
Mengkhianati mandat;
Mengutamakan perpecahan;
Mengabaikan kesepakatan;
Menubuhkan parti-parti baru.
Mereka semua boleh memberi apa sahaja alasan, hujah atau dalil akan tetapi bangsa dan umat sudah lama sedar akan muslihat, kepura-puraan dan sifat hipokrit dan oportunis mereka di sebalik setiap gubahan kalimat dan retorik lapuk mereka.
Malangnya, belum kelihatan lagi sosok tubuh yang akan lahir dan bangkit melewati sempadan politik kepartian yang sempit di atas untuk benar-benar memimpin dan membimbing bangsa dan umat ini.
Ini kerana kepompong dan lubuk politik yang sudah wujud sejak puluhan tahun tidak akan memberi peluang atau membenarkan sesiapa sahaja, apatah lagi wajah-wajah baru, untuk menukar percaturan politik yang sudah begitu lama berakar umbi.
Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa lubuk politik usang ini perlu ditinggalkan sekiranya kira ingin melakar sejarah baru atau membentuk asas-asas peradaban baru untuk negara ini.
Ekosistem politik yang jujur dan iklim transformasi bangsa dan umat tidak akan berjaya dilahirkan dari sistem nilai yang telah rosak, dari maksiat dan kemungkaran yang diagung-agungkan, dari makruf yang dipinggirkan dan dari tunjang yang telah dirasuki oleh hembusan Iblis.
Di saat bangsa dan umat sedang diperdayakan dan sedang terpinga-pinga dengan paparan kerakusan dan kerasukan untuk berkuasa serta saling berlumba-lumba ke atas perpecahan, pihak lain khususnya parti-parti bukan-Melayu dan Islam yang rasis lagi cauvinis tidak membuang masa untuk mengaut sebesar-besar manfaat dan sebanyak-banyak keuntungan, yang sekiranya tidak dimanfaatkan sepenuhnya pada ketika ini, mereka tidak akan mampu untuk mencapainya pada ketika umat dan bangsa kembali bersatu padu dan meninggalkan karat-karat perpecahan yang diwarisi dari zaman Jahiliyah mereka.
Seandainya senario itu menjadi kenyataan, kita patut salahkan diri sendiri kerana memilih pemimpin-pemimpin Melayu dan muslim yang khianat, tidak jujur, hipokrit, oportunis dan gila kuasa.
Adakah mereka yang dilantik itu pernah merasa berdosa dan bersalah terhadap amanah yang dikhianati dan kepercayaan yang diberikan?
Jangan terkejut sekiranya puak-puak inilah juga akan tetap akan dipilih menjadi ‘wakil’ bangsa dan umat pada PRU15 nanti!
Tangan siapakah yang akan memilih mereka? - ISMA WEB
(*) Mohd Luttfi Abd Khalid
Pengerusi iPeguam/Pemerhati politik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan