Selasa, 19 Oktober 2021

Peras ugut: Tiga pegawai kanan SPRM disyaki ditahan?

 Oleh MASZUREEN HADZMAN

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi terpalit isu salah guna kuasa membabitkan pegawainya apabila tiga individu daripada suruhanjaya itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam pemerasan membabitkan RM60,000.

Pemerasan tiga pegawai SPRM itu disyaki dilakukan terhadap seorang pegawai yang bertugas di Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disiasat suruhanjaya itu kerana didakwa terlibat dalam kes dadah.

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, pegawai polis berkenaan merupakan seorang daripada enam individu yang disiasat SPRM kerana disyaki meminta wang perlindungan daripada sindiket ketum.

Jelas sumber itu, siasatan dijalankan sejak bulan lalu dan dipercayai dalam proses untuk pertuduhan masa terdekat ini.

“Namun, pegawai SPRM berkenaan disyaki telah meminta sejumlah wang daripada pegawai polis itu bagi melepaskan kes berkenaan.

“Susulan daripada itu, aduan telah dibuat kepada SPRM untuk siasatan lanjut dan difahamkan, suruhanjaya berkenaan menjalankan siasatan mengenai perkara itu,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia mendapatkan pengesahan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berhubung perkara berkenaan bagaimanapun tidak berjaya.

Pada 20 September lalu, tiga pegawai kanan SPRM ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

Kesemua mereka direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah erana didakwa terlibat dalam mencuri barang kes membabitkan wang tunai berjumlah lebih RM 25 juta (AS$6juta).

Kertas siasatan membabitkan tiga pegawai berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) namun dipulangkan semula kepada SPRM kerana AGC mendapati ada kesalahan lain yang memerlukan siasatan lanjut. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: