Selasa, 19 Oktober 2021

Penerima rumah PPRT, mohon 7 kali, tunggu 18 tahun miliki rumah sendiri

 Oleh SURAIDAH ROSLAN

ISMAIL Sabri Yaacob (kanan) mempengerusikan Mesyuarat MKMA63 yang turut disertai oleh Maximus Ongkili (dua kanan) serta ahli-ahli tetap MKMA63 di Putrajaya semalam.

KOTA MARUDU: Impian memiliki rumah sendiri sejak 18 tahun lalu akhirnya tercapai apabila rumah yang dipohon di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Tanjung Batu siap sepenuhnya pada April lalu.

Masri Bakri, 45, berasa lega kerana kini keluarga kecilnya boleh duduk dengan selesa di rumah PPRT yang diserahkan secara rasmi oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid semalam.

Sebelum ini, Masri terpaksa menumpang di rumah keluarga mentuanya bersama isteri, Masritah Mohd Yassin dan empat anak mereka sejak 2003.

Beliau yang bekerja sebagai nelayan ini mula mendiami rumah PPRT berkenaan pada April selepas ia mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

“Kami tinggal di rumah mentua cukup lama. Sebenarnya saya memang sudah lama memohon rumah PPRT dan kalau diikutkan, ada tujuh kali saya membuat permohonan tetapi tidak berjaya.

“Walau bagaimanapun, saya amat bersyukur kerana pada tahun ini diberikan rezeki untuk mendapatkan rumah PPRT. Anak-Anak juga gembira dapat tempat tinggal yang selesa. Terima kasih kepada kerajaan kerana membantu golongan seperti kami,” katanya ketika ditemui di Kota Marudu dekat sini semalam.

Rumah berkeluasan 660 kaki persegi itu dilengkapi tiga bilik tidur, satu bilik air, dapur serta ruang tamu, dibina dengan kerjasama GiatMara menerusi projek PPRT 2021 di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KLPB).

Ia merupakan salah satu daripada 520 buah rumah baharu PPRT yang dibina oleh KPLB dengan peruntukan berjumlah RM83.2 juta pada tahun ini.

Sementara itu, Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu membabitkan pembinaan 520 rumah baharu dan baik pulih 2,818 rumah PPRT.

“Fokus KPLB adalah untuk menyediakan kediaman yang selesa kepada golongan termiskin yang masih belum mempunyai kediaman. Selain itu kita, juga mengambil kira mereka yang memerlukan bantuan untuk membaik pulih rumah mereka.

“Projek bina baharu dan baik pulih PPRT ini saya telah letakkan sebagai satu daripada keutamaan dan indeks prestasi utama (KPI) 100 hari saya sebagai menteri dan juga KPLB,” katanya,

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Menteri Kerja Raya negeri; dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Seorang lagi penerima, Ramlon Maidin, 55, turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan membina rumah PPRT berkenaan.

Ramlon menyifatkan rumah berkenaan sebagai kediaman yang selesa serta selamat untuk isteri dan lima anak mereka yang berusia antara empat hingga 15 tahun.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: