Selasa, 26 Oktober 2021

Dua warga Pakistan antara 3 ditahan kes rokok seludup

Oleh Mohamad Fahd Rahmat
Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam merampas pelbagai jenis mercun dan rokok seludup bernilai RM5,469 dalam satu operasi di Jalan Parit Haji Hashim, semalam. - Foto PGA
Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam merampas pelbagai jenis mercun dan rokok seludup bernilai RM5,469 dalam satu operasi di Jalan Parit Haji Hashim, semalam. - Foto PGA

KLUANG: Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam merampas pelbagai jenis mercun dan rokok seludup bernilai RM5,469 dalam satu operasi di Jalan Parit Haji Hashim, semalam.

Pegawai Pemerintah, Superintendan Dimin Awang, berkata tiga suspek termasuk dua warga Pakistan berusia 21 hingga 29 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.30 petang itu.

"Semua suspek ini dipercayai aktif membekalkan mercun dan rokok tidak bercukai ke kedai runcit di sekitar kawasan Simpang Renggam sejak lima bulan lalu.

"Menerusi tangkapan ini, kita kemudian menemukan 29 kotak mercun dan 28 karton rokok tidak bercukai yang dianggarkan bernilai RM5,469," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dimin berkata, tangkapan dan rampasan kemudiannya di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

"Kita percaya tangkapan dan rampasan ini amat membantu dalam memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran mercun serta rokok tidak bercukai di sekitar kawasan Simpang Renggam.

"Saya meminta kepada orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini," katanya.

Tiada ulasan: