Isnin, 18 Oktober 2021

Muzakarah khas bincang SOP rapatkan saf solat jemaah

BH ONLINE
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan membincangkan isu prosedur operasi standard (SOP) mengenai aktiviti masjid dan surau, termasuk cadangan merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah, Rabu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, berkata beliau sudah meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengatur muzakarah itu bagi mendengar taklimat penilaian risiko semasa COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, ia susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung peralihan fasa dan kelonggaran SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Saya percaya suatu keputusan demi maslahah umum akan dapat dicapai dan berharap aktiviti masjid dan surau khususnya solat berjemaah seperti sedia kala akan dibenarkan dengan SOP tertentu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Idris berkata semua ahli muzakarah yang terdiri daripada mufti negeri serta ahli yang dilantik dalam kalangan pakar turut dijemput hadir dalam muzakarah itu.

Pada Jumaat lalu, Arab Saudi mengumumkan solat berjemaah dengan kapasiti penuh dibenarkan di Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah bermula hari ini. – BERNAMA

Tiada ulasan: